fbpx
AUSTRIA tundukkan Jordan 3-1 pada aksi pembukaan kumpulan J, sebentar tadi.

Piala Dunia 2026: Austria akui Jordan lawan sukar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAN FRANCISCO – Austria mengakui mereka terpaksa mengharungi ujian lebih getir daripada jangkaan sebelum berjaya menewaskan Jordan 3-1 pada aksi pembukaan Kumpulan J Piala Dunia 2026, sebentar tadi.

Meskipun turun selaku pasukan pilihan, skuad kendalian Ralf Rangnick dipaksa bekerja keras oleh Jordan yang membuat penampilan sulung di pentas Piala Dunia.

Pemain tengah Austria, Konrad Laimer berkata, pasukannya sudah menjangkakan tentangan sengit daripada wakil Asia itu yang tampil cukup berdisiplin sepanjang perlawanan.

“Kami tahu ini akan menjadi perlawanan yang sukar. Ada ketika kami bermain dengan baik, tetapi ada juga fasa permainan yang kami tidak berada pada tahap sepatutnya.

“Apa yang paling penting adalah mentaliti seluruh pasukan. Kami tidak pernah berputus asa, terus berjuang hingga wisel penamat dan akhirnya berjaya meraih kemenangan,” katanya.

Kemenangan itu bukan sahaja memberikan tiga mata berharga buat Austria, malah menamatkan penantian panjang mereka untuk kembali meraih kemenangan di pentas Piala Dunia selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 1990.

Bagaimanapun, Rangnick menegaskan keputusan tersebut tidak menggambarkan sepenuhnya kesukaran yang terpaksa ditempuhi oleh pasukannya sepanjang perlawanan.

Menurutnya, Jordan berjaya melaksanakan perancangan permainan dengan baik dan memberikan tekanan berterusan sehingga memaksa Austria bergelut untuk menguasai rentak sebenar permainan.

“Jordan melakukan tugas yang luar biasa. Mereka menjadikan perlawanan ini sangat sukar buat kami. Saya fikir pada babak kedua barulah kami benar-benar berjaya masuk ke dalam perlawanan dan mendapatkan rentak yang diinginkan,” ujarnya.

Rangnick turut menyifatkan keputusan-keputusan awal Piala Dunia kali ini membuktikan jurang antara pasukan Eropah dan negara yang berada di ranking lebih rendah semakin mengecil.

“Pada akhirnya saya fikir kami memang layak menang, tetapi ia adalah kemenangan yang sangat sukar untuk diperoleh,” katanya.

Austria kini bersedia untuk cabaran lebih besar apabila dijadualkan menentang juara bertahan, Argentina pada aksi kedua kumpulan, manakala Jordan akan membuat perhitungan dengan Algeria bagi menghidupkan peluang mara ke pusingan seterusnya. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN