KEMAMAN – Impian pasangan suami isteri muda dalam kalangan Orang Asli untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai apabila terpilih dalam Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) kelolaan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).
Kharil Rahim, 29, berkata, sebelum ini dia dan isteri, Nor Basirah Bali, 28, bersama anak tunggal mereka berusia enam tahun menumpang di rumah mentua sejak hampir tujuh tahun lalu.
“Saya sentiasa berharap dapat memiliki rumah sendiri yang selesa bagi diduduki isteri dan anak-anak.
“Begitupun saya yang bekerja sebagai buruh ladang kelapa sawit masih belum berkemampuan,” katanya di Kampung Orang Asli Sungai Pergam di sini hari ini.
Dia antara tiga keluarga Orang Asli yang menerima rumah baharu daripada PPRS daripada Pengurus Besar Ketengah, Tengku Datuk Ahmad Nadzri Tengku Musa.
Sementara itu, Tengku Ahmad Nadzri berkata, tiga rumah baharu Orang Asli itu sebahagian sembilan rumah baharu di dalam wilayah Ketengah yang dibina menerusi PPRS pada tahun lalu.
Beliau berkata, sebanyak 13 rumah penduduk yang uzur di wilayah Ketengah juga dibaik pulih dalam program sama. – KOSMO! ONLINE














