BOSTON – Dua gol Erling Haaland memastikan kemenangan mutlak buat Norway yang menewaskan Iraq 4-1 pada aksi Kumpulan I Piala Dunia 2026 di Stadium Boston, sebentar tadi.
Penyerang Iraq, Aymen Hussein pula dihimpit perasaan bercampur baur selepas meledak jaringan dan menjaringkan gol sendiri di hujung permainan.
Terdahulu, Haaland terpaksa menanti hingga minit ke-29 untuk membuka akaun jaringannya di pentas Piala Dunia namun kelebihan itu hanya bertahan 10 minit apabila Hussein kembali menyamakan kedudukan.
Minit ke-43, berpunca daripada kesilapan penjaga gol Iraq, Jalal Hassan yang teragak-agak untuk mengeluarkan bola membolehkan Haaland melengkapkan gol kedua Norway, juga jaringan antarabangsa ke 57 buat penyerang Manchester City itu dalam 51 penampilan.
Norway menambah gol ketiga pada minit ke-76 menerusi pemain gantian, Leo Ostigard, yang menanduk masuk bola sepakan penjuru.
Malang buat Iraq apabila Hussein menjaringkan gol sendiri pada saat akhir perlawanan untuk menghadiahkan gol keempat Norway bagi melengkapkan kemenangan 4-1. AGENSI














