PIDATO merupakan seni pengucapan awam yang memerlukan keberanian, keyakinan dan penguasaan bahasa yang baik.
Melalui pidato, seseorang itu bukan sahaja menyampaikan idea dan pandangan, malah berupaya mempengaruhi serta memberi inspirasi kepada pendengar.
Kini, pidato semakin mendapat perhatian dalam kalangan pelajar kerana mampu membentuk daya kepimpinan, pemikiran kritis dan keterampilan diri.
Bagi Muhammad Irsyad Mohd. Rosli, 13, minat terhadap pidato mula berkembang ketika dia berada di tahun enam selepas bakatnya dalam pengucapan awam dikenal pasti oleh guru.
Berasal dari Sungai Petani, Kedah, Muhammad Irsyad melihat pidato sebagai platform untuk mencabar diri dan mengembangkan bakat yang telah diasah melalui penyertaan dalam debat.
“Sebelum menyertai pidato, saya aktif dalam debat bahasa Melayu. Pengalaman itu memberi keyakinan kepada saya untuk menceburi bidang pidato.
“Saya juga berlatih secara konsisten di hadapan cermin bagi meningkatkan ‘spontaniti’ dan keyakinan ketika berucap,” katanya kepada K-Remaja baru-baru ini.
Selain latihan berterusan, minatnya terhadap pembacaan novel dan buku-buku bahasa Melayu turut membantu meningkatkan penguasaan bahasa serta memperkayakan kosa kata yang digunakan ketika pidato.
Untuk mendapatkan idea dan menambah pengetahuan am, Muhammad Irsyad banyak membaca serta mencari maklumat daripada pelbagai sumber.
Dalam usaha meningkatkan kemahiran berpidato, pelajar Maktab Rendah Sains Mara Pendang itu turut menjadikan tokoh-tokoh pidato muda sebagai inspirasi.
Dia sering memerhati gaya penyampaian tokoh-tokoh berkenaan bagi memahami teknik pidato yang berkesan serta meningkatkan mutu persembahannya.

Menurut Muhammad Irsyad, penyampaian yang baik bukan hanya bergantung kepada isi yang mantap, malah memerlukan penggunaan intonasi sesuai bagi menarik perhatian pendengar.
“Intonasi perlu dipelbagaikan mengikut kesesuaian ayat dan emosi yang ingin disampaikan. Jika sesuatu ayat itu memerlukan penegasan, intonasi perlu lebih tegas supaya mesej dapat disampaikan dengan lebih berkesan,” katanya.
Menariknya, Muhammad Irsyad turut menulis sendiri teks pidatonya dengan bimbingan guru.
Biasanya, dia mengambil masa sekitar tiga hingga empat hari untuk menyiapkan serta memahami kandungan teks sebelum pertandingan berlangsung.
Walaupun tidak berdepan masalah untuk menghafal teks, namun dia mengakui perasaan gugup ketika berada di hadapan khalayak kadangkala boleh menyebabkan tumpuannya sedikit terganggu.
Sebagai pelajar yang menetap di asrama, Muhammad Irsyad perlu bijak membahagikan masa antara akademik dan minatnya terhadap pidato.
Jadual harian yang teratur dapat memudahkannya memberi tumpuan kepada pelajaran tanpa mengabaikan latihan pidato. Jadi, dia memanfaatkan waktu ‘prep’ untuk belajar, manakala latihan berucap dilakukan ketika masa lapang.
Kehidupan di asrama juga banyak membantunya mengurus masa dengan lebih baik kerana setiap aktiviti dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Sementara itu, mengulas mengenai perancangan masa hadapan, Muhammad Irsyad berazam untuk menyertai lebih banyak pertandingan bagi mengasah bakat dan menambah pengalaman dalam bidang pengucapan awam.
“Saya berharap dapat mewakili sekolah dalam pertandingan peringkat kebangsaan pada masa akan datang. Pada masa sama, saya akan terus menyertai sebanyak mungkin pertandingan untuk meningkatkan kemahiran dan menambah pengalaman dalam bidang pidato,” katanya.
















