SUNGAI PETANI – Kecederaan parah pada badan dipercayai menjadi punca dua anggota tentera maut akibat letupan bom ketika menjalani latihan di Kem Hobart, Gurun di sini, hari ini.
Kebanyakan kecederaan yang dialami Koperal Norazmi Abu Bakar, 40, dan Prebet Siti Khadijah Sungip, 24, adalah dari bahagian pinggang ke atas.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya akan membuka kertas siasatan sebagai kes mati mengejut (SDR).
“Kita akan mendapatkan kerjasama semua pihak untuk menjalankan siasatan di tempat kejadian. Selain itu, kita akan merakam percakapan saksi-saksi yang berada di lokasi ketika kejadian,” katanya kepada pemberita di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya sedang menyiasat insiden itu termasuk jumlah anggota yang terlibat dalam latihan berkenaan.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan dua anggota tentera yang maut akibat letupan bom di Kem Hobart pagi tadi ialah Koperal Norazmi Abu Bakar dan Prebet Siti Khadijah Sungip.
Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan insiden kira-kira pukul 10.57 pagi itu berlaku semasa Latihan Membaling Grenad dalam Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Divisyen Kedua Infantri Malaysia.
Koperal Norazmi daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Prebet Siti Khadijah daripada Skuadron Pertama RAJD mengalami kecederaan akibat letupan semasa latihan berkenaan. – KOSMO! ONLINE














