PUTRAJAYA – Sekumpulan aktivis menyerahkan laporan terperinci pakar konservasi dan biologi gajah Oxford, Dr. William Keith Lindsay kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sebagai usaha mendesak kerajaan membawa pulang gajah Dara, Amoi dan Kelat ke Malaysia.
Aktivis kebajikan haiwan, Datin Shereen Yunos berkata, laporan tersebut dibuat berdasarkan penelitian terhadap lebih 155 jam rakaman video melibatkan aktiviti harian gajah serta mengandungi penilaian saintifik serta cadangan berhubung kebajikan ketiga-tiga gajah itu
Katanya, laporan tersebut akan menjadi antara bahan rujukan kementerian itu sebelum isu gajah DAK dibahaskan di Parlimen pada 22 Jun ini.
“Tujuan kami berada di sini adalah untuk menyerahkan laporan yang baharu disiapkan oleh pakar kami dari Oxford kepada kementerian.
“Kami berharap laporan ini dapat membantu kerajaan membuat keputusan muktamad untuk membawa pulang Dara, Amoi dan Kelat ke tanah air,” katanya kepada media selepas menyerahkan laporan tersebut di sini, hari ini.
Menurut beliau, laporan itu tidak akan didedahkan kepada umum buat masa ini kerana kandungannya berkemungkinan digunakan bagi tujuan perundangan selain memberi ruang kepada kementerian menelitinya terlebih dahulu.
Dalam pada itu, Penasihat Pertubuhan Ihsan Haiwan Malaysia, Norashikin Cik Omar berkata, pihaknya mempersoalkan dakwaan bahawa keadaan gajah-gajah berkenaan berada dalam keadaan baik seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Katanya, pihak berkaitan perlu menjelaskan sumber laporan dan penilaian yang digunakan bagi menyokong dakwaan tersebut.
“Kami bukan mempertikaikan setiap laporan yang dikeluarkan, tetapi mahu mengetahui secara lebih terperinci siapakah yang menjalankan penilaian tersebut dan bagaimana kesimpulan itu dibuat.
“Pada masa sama, kami juga bimbang dengan perubahan fizikal yang dilihat pada haiwan berkenaan berdasarkan rakaman video yang kami peroleh,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan satu pasukan petugas bebas yang terdiri daripada pakar bertauliah dalam bidang konservasi dan kebajikan haiwan bagi menilai keadaan sebenar ketiga-tiga gajah tersebut. – KOSMO! ONLINE






