PETALING JAYA – Tindakan murni seorang lelaki warga emas yang prihatin terhadap kebajikan seorang bayi di zon kecemasan sebuah hospital menyentuh hati pengguna media sosial.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Threads oleh Ai.hhhah_, wanita itu berkongsi detik cemas ketika sedang menunggu suaminya yang sedang dirawat di zon kecemasan hospital berkenaan.
Menurut wanita tersebut, dalam keadaan fikirannya yang celaru, dia dikejutkan dengan kehadiran seorang uncle (pak cik) yang tiba-tiba menegur keadaan bayinya yang dibawa bersama.
“Tengah tunggu suami dekat emergency (kecemasan), fikiran tengah celaru. Tiba-tiba datang uncle tanya, baby tak sejuk ke? Tak ada selimut? Saya jawab, tak ada uncle, tak sempat bawa apa-apa,” katanya.
Lebih mengharukan, lelaki warga emas tersebut tidak sekadar bertanya, sebaliknya terus bertindak meminta bantuan daripada kakitangan hospital demi memastikan bayi berkenaan selesa.
“Tak lama dia mai (datang) dengan petugas Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bawa selimut. Terima kasih uncle, semoga uncle cepat sembuh,” ujarnya.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna memuji sikap keprihatinan masyarakat berbilang kaum di negara ini yang sentiasa membantu tanpa mengira bangsa, terutamanya ketika berada di hospital.
“Sama dengan mak cik India depan katil my nenek saya. Dia datang bagi bantal sebab kesian tengok kita berjaga malam tak ada proper (sesuai) bantal,” kata Simelonnnz.
“Itu sebenarnya tanda sayang seorang atuk, kasih sayang yang tiada batas walaupun berbeza bangsa,” tambah Mohanw1228.
“Uncle tu mesti faham fikiran si ibu tengah celaru, sebab tu dia datang bantu. Terima kasih uncle,” kata Uwaishaizan_. – KOSMO! ONLINE






