fbpx
Ramanan

Kadar tuntutan dijangka meningkat 200 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Kerajaan menjangkakan peningkatan kadar tuntutan sehingga 200 peratus berbanding kira-kira 170,000 kes dalam tempoh setahun lalu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, peningkatan itu selaras penguatkuasaan skim perlindungan seperti Lindung 24 Jam, Akta Pekerja Gig 2025, dan Skim Pengembara yang kini dalam perancangan.

“Lonjakan ini menuntut kapasiti perkhidmatan rehabilitasi yang lebih efisien dan bersepadu.

“Maka, melalui pembangunan pusat ini (Pusat Rehabilitasi Perkeso Sultan Nazrin Shah), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan mengubah landskap rehabilitasi negara seiring perkembangan teknologi dan keperluan pendekatan rehabilitasi yang lebih dinamik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pusat Rehabilitasi Perkeso Sultan Nazrin Shah di Bandar Meru Raya di sini hari ini.

Mengulas tentang pusat rehabilitasi tersebut, Ramanan berkata, dengan kapasiti rawatan sehingga 700 pesakit pada satu-satu masa, pusat itu mampu memberi manfaat kepada 3,000 pesakit setahun.

“Sejak pusat rehabilitasi ini mula beroperasi pada Julai 2025 sehingga kini, seramai 1,095 pesakit telah menerima rawatan, merangkumi kes-kes utama seperti kemalangan, penyakit khidmat, kecederaan saraf tunjang serta penyakit tidak berjangkit seperti strok,” katanya.

“Patik juga ingin menyembah maklum, bahawa selain menjadi pusat rehabilitasi terbesar di rantau Asia Tenggara, pusat ini juga merupakan fasiliti dengan bilangan unit Cyberdyne Hybrid Assistive Limb terbanyak di dunia.

“Melalui kerjasama strategik antara Perkeso dan Cyberdyne Incorporation, Jepun, sebanyak 65 unit peralatan Cyberdyne meliputi Lower Limb, Single Joint, dan Lumbar disediakan untuk manfaat pesakit yang menerima rawatan di sini,” katanya.

Dengan keupayaan teknologi tersebut, katanya, pusat ini bakal menjadi hab rujukan global bagi perkhidmatan neuro-robotik dan Pusat Kecemerlangan Rehabilitasi melalui penawaran 151 jenis perkhidmatan komprehensif.

Katanya, ia termasuklah perkhidmatan neuro-robotik, rawatan sibernik, neuromodulasi, serta program Advanced Return-To-Work (RTW).

“Antara fasiliti lain yang disediakan termasuklah Advanced Biomechanics Rehabilitation Platform yang menggabungkan robotik, realiti maya dan simulasi pergerakan serta Advanced Movement Analysis Laboratory.

“Ia merupakan makmal perintis di Malaysia yang menggunakan teknologi motion capture, force plates dan elektromiografi (EMG),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN