MUAR – Seorang lelaki warga emas antara dua individu bakal berhadapan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mengedar lebih 620 kilogram (kg) dadah bernilai kira-kira RM57.15 juta.
Goh Ka Hun, 63, dan Low Yah Chien, 43, hanya mengangguk faham sebaik kedua-dua pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Kartini Kasran, awal bulan ini.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh memandangkan kes ini di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat kasar 443,418 gram (g) di kawasan tali air Parit Amat Laut, Parit Jawa, dekat sini, 12.30 tengah malam, 5 Jun lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh bersama-sama didakwa mengedar dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) atau ekstasi dengan anggaran berat kasar 180,642 gram dengan perbuatan itu dilakukan pada waktu, tarikh dan lokasi sama.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Hukumannya ialah mereka boleh digantung sampai mati atau pun penjara seumur hidup dan juga hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum dikenakan hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yasmin Mohd Piah manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Kes disebut semula pada 15 Ogos ini bagi sebutan laporan kimia dan tiada jaminan ditawarkan terhadap kedua-dua tertuduh.
Berdasarkan laporan, polis menahan dua warga tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah yang cuba diseludup ke negara jiran.
Kedua-dua tertuduh diberkas dalam serbuan dijalankan sepasukan Unit Risik Marin, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Muar, serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar. – KOSMO! ONLINE














