KANSAS – Juara bertahan Argentina bakal membuka tirai saingan Piala Dunia 2026 dalam Kumpulan J menentang Algeria pagi esok dengan misi untuk mengelak episod hitam yang berlaku empat tahun lalu.
Pada aksi Piala Dunia 2022 di Qatar, skuad kendalian Lionel Scaloni itu turun dengan penuh keyakinan dan diletakkan pilihan untuk memenangi perlawanan sebelum mereka berdepan keputusan mengejutkan apabila tewas 1-2 kepada Arab Saudi.
Pengajaran pahit itu menyebabkan Argentina kini lebih berhati-hati dan enggan terlalu teruja sebaliknya, Scaloni sedang membuat persiapan terbaik untuk menyenaraikan kesebelasan utama termasuk menyenaraikan bintang sensasinya, Lionel Messi.
Menurut laporan, dalam sesi latihan terbaru pasukan itu, Scaloni telah menyenaraikan 10 pemain utama melibatkan Cristian Romero, Nicolás Otamendi, Lisandro Martínez, Giuliano Simeone, Rodrigo De Paul, Enzo Fernández, Alexis Mac Allister, Thiago Almada, Messi dan Lautaro Martínez.
Biarpun senarai pemain belum muktamad, namun ia menjadi gambaran awal mengenai kesebelasan kemungkinan berkenaan yang bakal diturunkan oleh Scaloni untuk berdepan Algeria kali ini.
Scaloni turut menguji formasi tiga pertahanan dalam sesi latihan dan bukannya empat pemain seperti kebiasaannya dan ia berpunca daripada masalah kecederaan Nicolás Tagliafico yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
Sementara itu, Messi dijangka terus menjadi sandaran utama Scaloni untuk merobek gawang Algeria biarpun sebelum ini terdapat pelbagai desas-desus mengenai tahap kecergasan yang mungkin membuatkan dia sukar berada pada tahap terbaik.
Namun, Messi yang akan menyertai Cristiano Ronaldo mencipta sejarah sebagai pemain yang beraksi dalam enam edisi Piala Dunia memiliki misi penting untuk membantu Argentina menjadi negara pertama mengekalkan kejuaraan selepas Brazil melakukannya pada 1962.
“Terdapat keraguan ekoran apa yang saya katakan pada Piala Dunia yang lalu, bahawa saya fikir agak sukar untuk saya bermain sekali lagi kerana faktor usia.
“Tetapi, saya mendapat peluang untuk bermain, mendapatkan semula rentak permainan, mengumpul minit perlawanan dan terus berasa cergas. Semuanya berlaku secara semula jadi,” ujarnya. – AGENSI














