JOHOR BAHRU – Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Johor Bahru memberikan perlindungan kepada dua wanita warga Indonesia yang dipercayai menjadi mangsa penderaan fizikal oleh majikan mereka di negeri ini.
Jurucakap KJRI berkata, kedua-dua wanita yang bekerja sebagai pembantu rumah itu kini ditempatkan di kediaman sementara milik konsulat bagi membolehkan bantuan dan perlindungan lanjut diberikan.
Menurutnya, pihak konsulat menerima laporan daripada seorang warga Indonesia yang mendakwa dirinya serta dua lagi wanita senegaranya menjadi mangsa keganasan fizikal ketika bekerja sebagai pembantu rumah.
“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa dipercayai mengalami penderaan oleh majikan mereka dalam kejadian yang berlaku pada penghujung tahun lalu dan Januari tahun ini.
“Selepas kejadian tersebut, mereka didakwa ditinggalkan oleh majikan di kawasan Kampung Melayu Majidee di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kerana masih mahu bekerja di Malaysia, ketiga-tiga wanita itu berpisah apabila seorang daripada mereka menuju ke Kuala Lumpur manakala dua lagi kekal di Johor.
Katanya, semakan turut mendapati mereka berada di negara ini tanpa permit kerja yang sah.
“Pasport mereka juga dipercayai dipegang oleh majikan menyebabkan mereka takut untuk tampil membuat laporan mengenai penderaan yang dialami.
“Namun, salah seorang mangsa akhirnya membuat aduan kepada KJRI sebelum pihak konsulat menyalurkan maklumat tersebut kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurut beliau, berdasarkan maklumat diterima, Polis Daerah Johor Bahru Utara telah menahan empat individu yang disyaki terbabit dalam kes berkenaan.
Semalam, Kosmo! melaporkan dua pasangan suami isteri ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes mencederakan pembantu rumah di sebuah kediaman di Taman Johor, Tampoi dekat sini.
Keempat-empat suspek berusia antara 30 hingga 34 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7.30 malam kelmarin bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














