fbpx
TERDAPAT pesara yang berhadapan dengan tekanan kewangan setelah menggunakan sejumlah wang besar dalam tempoh beberapa tahun selepas bersara. - GAMBAR HIASAN

Manjakan anak, taja kahwin punca poket pesara ‘kering’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA ini, fenomena pesara yang dahulunya memiliki simpanan besar tetapi akhirnya perlu kembali ‘memerah kudrat’ di usia senja untuk mencari rezeki bagi meneruskan kehidupan bukan lagi kisah terpencil dalam kalangan masyarakat

Kebiasaannya setelah berkhidmat berpuluh tahun pesara akan menerima sehingga ratusan ribu ringgit, malah ada yang mencecah jutaan ringgit dan jumlah itu kelihatan mencukupi untuk digunakan bagi meneruskan kehidupan.

Tetapi, ada pesara yang berhadapan dengan tekanan kewangan setelah ‘enjoy’ menggunakan sejumlah wang besar yang diterima sehingga habis dalam tempoh beberapa tahun selepas bersara.

Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr. Nurulhuda Ahmad Zaki berkata, tanpa perancangan kewangan yang teliti, wang tersebut boleh habis dalam tempoh yang singkat.

Menurutnya, perbelanjaan yang tidak terkawal, pelaburan tanpa ilmu, serta sikap terlalu pemurah menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada keadaan ini.

“Salah satu punca utama ialah kegagalan mengurus kewangan dengan bijak, ramai pesara melihat wang persaraan sebagai ‘ganjaran’ selepas bertahun-tahun bekerja, lalu menggunakannya untuk memenuhi keinginan yang tertangguh.

“Pembelian barangan mewah, pengubahsuaian rumah secara besar-besaran, serta gaya hidup yang meningkat secara mendadak menyebabkan wang cepat susut,” katanya.

Tambahnya, tanpa perancangan jangka panjang, simpanan yang sepatutnya bertahan puluhan tahun boleh habis dalam beberapa tahun sahaja dan lebih membimbangkan, pesara juga merupakan antara sasaran utama scammer.

Katanya, golongan ini sering dianggap memiliki simpanan yang besar serta kurang pendedahan terhadap teknologi dan taktik penipuan terkini.

“Scammer mengambil peluang dengan menawarkan pelaburan palsu yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat. Tanpa semakan lanjut, pesara mudah terpedaya dan akhirnya kehilangan wang dalam jumlah yang besar dalam sekelip mata,” katanya.

Nurulhuda berkata, faktor emosi juga memainkan peranan besar dalam kemerosotan kewangan pesara.

“Ramai yang terlalu memanjakan anak-anak sehingga sanggup mengorbankan simpanan sendiri dengan membantu mereka membeli rumah, memulakan perniagaan dan menyelesaikan hutang dan menaja majlis perkahwinan yang besar.

“Walaupun niatnya baik, tindakan ini sering dilakukan tanpa mengambil kira keperluan diri sendiri pada masa hadapan,” jelasnya

Selain itu katanya, terdapat juga pesara yang terlibat dalam pelaburan atau perniagaan tanpa ilmu yang mencukupi dan akhirnya menyebabkan mereka mengalami kerugian.

Jelasnya, sebagai langkah pencegahan, beberapa prinsip asas perlu diamalkan dan pertama pesara perlu mengawal perbelanjaan dan membezakan antara keperluan dan kehendak.

Menurutnya, elakkan daripada membuat pelaburan yang tidak difahami dan berhati-hati dengan sebarang tawaran yang mencurigakan dan sentiasa mengamalkan sikap ‘semak dan sahkan’.

“Terakhir hadkan bantuan kewangan kepada anak-anak mengikut kemampuan sebenar agar tidak menjejaskan kelangsungan hidup sendiri,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN