PETALING JAYA – Didakwa seperti tidak aktif dalam aktiviti sekolah, anak sulung kepada pelawak Shuib, Thalita menegaskan tidak mempunyai masa untuk semua itu kerana memberi keutamaan kepada pelajaran dan karier nyanyian.
Thalita atau nama sebenarnya Dzahira Talita Zahra Shahmira, 13, mengakui minat terhadap sukan masih menebal, namun komitmen lain memaksanya membuat pilihan lebih realistik.
“Saya sebenarnya teringin nak main sukan, teringin sangat.
“Tapi disebabkan banyak perkara lebih penting seperti pelajaran dan nyanyian, saya pilih fokus dua itu dahulu.
“Jadual kerja pun padat ‘back to back’, saya sudah tingkatan satu dan pelajaran semakin mencabar. Jadi, belum masanya untuk aktif bersukan, cukup sekadar bermain dengan kawan-kawan,” katanya dalam Threads.
Penjelasan tersebut hadir selepas seorang netizen mempersoalkan penglibatannya dalam aktiviti sekolah, terutama sukan, memandangkan penampilannya sentiasa kemas dan tidak kelihatan seperti pelajar aktif di padang.
“Saya umur dia dulu aktif sukan, muka pun selalu ‘burn’ kena panas. Dia ini tak pernah ikut aktiviti sekolah ke?” soal individu terbabit.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen tampil mempertahankan remaja tersebut selain memahami situasi sebenar sebagai anak selebriti yang memiliki komitmen berbeza.
“Setiap orang ada laluan hidup sendiri, tak semua perlu ikut acuan sama.
“Dia masih muda, beri ruang untuk dia susun keutamaan.
“Fokus pelajaran dan bakat pun satu pencapaian, bukan semua mampu,” tulis beberapa netizen.
Dalam masa sama, ada juga segelintir pihak mengingatkan agar masyarakat tidak terlalu cepat membuat andaian hanya berdasarkan pemerhatian luaran. – KOSMO! ONLINE














