KULAI – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern sekali lagi diumumkan sebagai calon PKR pertama yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Pengarah Pilihan Raya Bersama bagi PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan nama Sen Sern selepas mendapat perkenan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, Sen Sern merupakan calon yang terbaik mempertahan kerusi yang dimenanginya pada PRN Johor yang lalu dan berupaya menyumbang kerusi kepada Pakatan Harapan (PH) pada PRN ke-16 ini.
“Untuk makluman semua hadirin, Presiden PKR yang juga Pengerusi PH telah bersetuju untuk saya umumkan pada malam ini bahawa Arthur (Sen Sern) akan menjadi calon di Bukit Batu.
“Ini calon PKR pertama yang kita umumkan untuk bertanding, yang lain kita belum boleh umumkan lagi,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera PH DUN Bukit Batu di Flat Cengal, Taman Putri, di sini malam ini.
Dalam ucapannya, Saifuddin mengingatkan Sern Sern untuk bersiap siaga dengan jenteranya untuk bekerja keras bagi memastikan kemenangan buat PH.
Ketua Setiausaha PH itu berharap calon tersebut akan mendapatkan sokongan daripada semua jentera dalam gabungan PH untuk membantu memenangkan kerusi tersebut.
“Saya juga turut berjumpa dengan Ahli Parlimen Kulai, Nie Ching di pejabatnya untuk meminta jentera DAP membantu kempen calon daripada PKR ini, kemenangan Arthur adalah kemenangan untuk DAP dan juga Amanah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sern Sen turut menzahirkan rasa terima kasih setelah diberi peluang sekali lagi untuk bertanding di kerusi DUN Bukit Batu buat penggal kedua dan bertekad akan pastikan kerusi tersebut kekal milik PH.
“Saya amat berterima kasih kepada Presiden dan Naib Presiden PKR apabila memberi kepercayaan kepada saya untuk bertanding di kerusi DUN Bukit Batu.
“Saya akan bawa jentera parti yang berbilang bangsa untuk turun berkempen di kawasan Bukit Batu bagi meyakinkan pengundi untuk memenangkan kerusi ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














