fbpx
Mahadi (tengah) bersama isteri (kanan) dan salah seorang anaknya di Perumahan Rakyat Kampung Fikri, Kemaman.

Mulut tak henti mengucap, zikir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMAMAN – Nelayan yang terselamat dalam insiden bot karam di perairan Kemaman dekat sini Khamis lalu terpaksa berpaut pada penutup tong ikan selama 11 jam di laut sebelum diselamatkan kerana kurang mahir berenang.

Mahadi Jusoh, 51, berkata, saat diselamatkan sekumpulan nelayan lain pada pukul 11.30 pagi, hatinya berbaur antara syukur masih diberi peluang kedua untuk hidup dan sayu mengenangkan nasib dua rakannya, Azan Muda, 68, dan Nordin Mohammad, 61, yang masih belum diketahui.

Berkongsi detik cemas kejadian itu, dia memberitahu, bot yang dinaiki mereka untuk mencandat sotong terbalik akibat dipukul ribut pada pukul 12.30 tengah malam Khamis lalu.

“Tekong bot (Azan) jerit minta saya yang kurang mahir berenang berpaut pada mana-mana objek, manakala Nordin pula tidak henti-henti mengucap dua kalimah syahadah.

“Kira-kira setengah jam kemudian, kami terpisah dan saya tidak mendengar lagi suara kedua-dua rakan saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Perumahan Rakyat Kampung Fikri di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan dua nelayan iaitu Azan dan Nordin dikhuatiri hilang setelah bot dinaiki mereka karam akibat dipukul ribut pada kedudukan 51.67 kilometer dari perairan Kemaman dekat sini.

Mahadi yang diselamatkan dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuantan, Pahang.

Mahadi berkata, dia hanya mampu berdoa dipanjangkan umur dan dua rakannya juga diselamatkan sepanjang terapung di dalam laut dalam keadaan ombak bergelora lebih dua meter dan hujan lebat.

Menurutnya yang 14 tahun berpengalaman menjadi nelayan, dia menguatkan diri untuk bertahan demi isteri dan anak-anak yang berada di rumah.

“Alhamdulillah tidak lama selepas cuaca kembali cerah, sebuah bot nelayan menghampiri lalu menyelamatkan saya.

“Jika tidak diselamatkam pada masa itu, saya tidak tahu selama mana lagi mampu bertahan di dalam laut tersebut,” katanya.
Mahadi berharap dua rakannya, Azan dan Nordin masih mampu bertahan dan diselamatkan pada masa terdekat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN