PADANG BESAR – Kertas siasatan kes seorang murid tahun enam cedera dan mengalami gangguan stress pasca trauma (PTSD) akibat kerusi ditarik rakan sekelas telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, pihaknya sedang menunggu arahan lanjut TPR dan tindakan dicadangkan diambil dibawah Akta Kanak-Kanak 2001.
“Kertas siasatan telah dilengkapkan dan dirujuk kepada DPP untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang murid perempuan berusia 12 tahun tidak lagi hadir ke sekolah sejak Februari lalu selepas didakwa menjadi mangsa buli sehingga mengalami PTSD.
Menurut Mohd. Shokri, berdasarkan siasatan, kejadian berlaku ketika sesi pembelajaran di sebuah sekolah di Beseri apabila mangsa terjatuh selepas kerusinya ditarik oleh rakan.
Katanya, mangsa kemudian dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang murid perempuan berusia 12 tahun tidak lagi hadir ke sekolah sejak Februari lalu selepas didakwa menjadi mangsa buli sehingga mengalami PTSD.-KOSMO! ONLINE.














