GEORGE TOWN – Tiga kanak-kanak warga Indonesia yang sebelum ini berada di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas dipercayai diabaikan sejak lahir akhirnya disatukan semula dengan keluarga mereka di negara asal hari ini.
Kanak-kanak berusia antara satu hingga tiga tahun itu dihantar pulang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang selepas proses mengesan waris mereka berjaya diselesaikan hasil kerjasama beberapa agensi.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim berkata, pelbagai usaha telah dijalankan bagi menjejaki ahli keluarga kanak-kanak itu demi memastikan mereka dapat membesar dalam persekitaran keluarga yang selamat.
“Kepulangan mereka hari ini diharap dapat membuka lembaran baharu yang lebih baik bersama keluarga masing-masing,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, proses penyatuan semula itu berjaya dilaksanakan hasil kerjasama erat antara JKM, Konsulat Jenderal Republik Indonesia dan Jabatan Imigresen Malaysia.- KOSMO! ONLINE














