PETALING JAYA – Piala Dunia 2026 membuka tirainya dengan kemunculan teknologi penyiaran terbaharu yang memukau perhatian peminat bola sepak di seluruh dunia.
Menerusi perlawanan pembukaan antara Mexico dan Afrika Selatan, tumpuan penonton terarah kepada paparan visual unik dikenali sebagai referee view (pandangan pengadil) yang menawarkan sudut pandangan secara langsung dari tengah padang.
Menerusi satu hantaran di aplikasi Threads, pengguna Jepp_wak_salam berkongsi rakaman siaran langsung perlawanan yang memaparkan visual mengikut pergerakan sebenar pengadil sepanjang aksi berlangsung.
“Perlawanan pertama Piala Dunia, dan pertama kali dalam sejarah teknologi ini digunakan. Sekarang saya tertanya-tanya, kamera jenis apa yang digunakan untuk mendapatkan rakaman seperti ini? Tak mungkin sekadar kamera badan,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna dan peminat bola sepak tampil memberikan pelbagai penjelasan mengenai teknologi berkenaan.
Menurut mereka, sistem itu menggunakan kamera khas yang dipasang pada bahagian kepala atau telinga pengadil serta dilengkapi mikrofon bagi membolehkan audio dan visual dirakam secara serentak.
“Ini kamera milik pengadil. Ia dipasang pada bahagian kepala bersama mikrofon,” jelas Yotharak_.
“Liga Perdana Inggeris (EPL) pun sudah menggunakan teknologi ini. Memang ada paparan sudut pandangan pengadil ketika perlawanan. Malah, penonton juga boleh mendengar bunyi pernafasan pengadil ketika berlari,” kata Muzzammil_faizal.
“Ada kelainan. Penonton boleh mendengar pemain berdebat dengan pengadil apabila berlaku kekasaran, seolah-olah berada dalam permainan video,” ujar Hyeqalniza. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














