fbpx
IZZ Naqiuddin (kiri) dan Syazwani bergambar sebagai pemenang kategori masing-masing pada Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Kuala Lumpur 2025. - M. FIRDAUS M. JOHARI

KLIO26 himpun bintang dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jaguh boling negara, Muhammad Rafiq Ismail bakal menjadi sandaran utama Malaysia pada Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIO26) di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid dari 13 hingga 21 Jun ini.

Juara dunia itu hadir dengan keyakinan tinggi selepas muncul juara Terbuka Malaysia minggu lalu sekali gus meletakkan dirinya sebagai antara calon utama memburu gelaran sempena sambutan ulang tahun ke-50 Persatuan Boling Tenpin Kuala Lumpur (KLTBA).

Turut memperkuatkan cabaran negara ialah beberapa nama besar seperti bekas juara Asia, Timmy Tan, pemain pertama Malaysia memenangi gelaran PBA Tour, Tun Hakim Tun Hasnul Azam, selain juara dunia wanita, Natasha Roslan.

Lebih menarik, kejohanan kali ini dijangka menyaksikan persaingan sengit daripada pemain profesional antarabangsa yang hadir dari Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, Singapura, Taiwan dan Thailand.

Tumpuan khusus pastinya terarah kepada wakil Jepun, Manon Ishida yang kini menduduki ranking No. 1 Persatuan Boling Profesional Jepun (JPBA) 2025 dengan lapan gelaran profesional, selain Mizuki Nakashima yang memiliki 10 kejuaraan dan pernah mendominasi ranking JPBA selama dua tahun berturut-turut.

Presiden KLTBA, Tan Sri Mohd Noor Abdul Rahim berkata, penganjuran kali ini membawa makna cukup istimewa kerana berlangsung serentak dengan ulang tahun ke-50 penubuhan persatuan tersebut sejak 1976.

“Edisi kali ini cukup bermakna kerana ia berlangsung sempena ulang tahun ke-50 KLTBA. Selama lima dekad, kami kekal komited membangunkan sukan boling di semua peringkat, daripada akar umbi dan remaja sehingga ke peringkat elit serta para.

“Kami berbangga kerana KLIO terus menyediakan pentas yang menghimpunkan pemain kebangsaan, profesional antarabangsa, atlet para serta bakat muda yang sedang meningkat naik di bawah satu bumbung,” katanya.

Sebagai antara kejohanan boling paling lumayan di negara ini, KLIO26 menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM355,820, peningkatan RM50,000 berbanding edisi tahun lalu.

Pada edisi lalu, gelaran Terbuka Campuran dimenangi Izz Naqiuddin Putera Islahuddin dengan jumlah 1,993 jatuhan pin, manakala Nur Syazwani Sahar muncul pemain wanita terbaik selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-10 keseluruhan, menjadikan kedua-dua mereka antara nama yang dijangka kembali mencuri tumpuan tahun ini. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN