WASHINGTON – Presiden Donald Trump semalam menepis kebimbangan tentang inflasi pengguna yang melonjak ke tahap tertinggi baharu dalam tempoh tiga tahun padaMei lepas, ketika harga bahan api turut meroket disebabkan perang Amerika Syarikat(AS) ke atas Iran.
“Angka-angka ini bagus. Saya suka inflasi,” kata Trump kepada wartawan, kenyataan yang langsung mengundang kritikan Parti Demokrat.
Indeks harga pengguna (IHK) naik 4.2 peratus dari tahun ke tahun, meningkat berbanding angka bulan sebelumnya dan merupakan yang tertinggi sejak April 2023.
Speaker Dewan Perwakilan, Mike Johnson daripada Parti Republikan kemudian berkata, kenyataan Trump itu diambil di luar konteks tetapi Pemimpin Minoriti Senat daripada Parti Demokrat, Chuck Schumer memberitahu, komen itu menunjukkan penghinaan Trump terhadap kesulitan kewangan yang dihadapi oleh isi rumah di Amerika Syarikat.
“Trump benar-benar berkata, ‘Saya suka inflasi.’ Di hadapan kamera. Untuk didengar oleh seluruh rakyat Amerika. Penghinaannya terhadap anda(rakyat AS) tidak mengenal batas,” kata Schumer di platform X.
Parti Demokrat menyiarkan iklan kempen baharu di akaun media sosialnya, menampilkan video komentar Trump.
“Trump berkata dengan tenang dan lantang. Beliau sukakan inflasi. Setiap warga Amerika harus melihat ini,” demikian menurut video tersebut.
Dalam pada itu, Perang AS-Israel menentang Iran yang bermula akhir Februari lalu menyebabkan harga tenaga melonjak setelah Tehran menutup Selat Hormuz yang menjadi laluan kepada satu perlima bekalan minyak dan gas dunia.
Trump juga mengulangi ramalan beliau bahwa inflasi akan ‘jatuh seperti batu’ selepas perang berakhir.
Ahli-ahli ekonomi bagaimanapun membantah dakwaan tersebut kerana harga minyak dijangka akan mengambil masa berbulan-bulan untuk kembali kepada harga sebelum perang, bergantung kepada bila permusuhan berakhir.
Data inflasi pengguna pada Mei lalu di Amerika menunjukkan harga bahan api melonjak 23.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan petrol meroket 40.5 peratus.
Harga bahan makanan juga naik signifikan untuk bulan kedua berturut-turut, menokok 2.7 peratus berbanding setahun lalu.
Harga lain yang meningkat selama sebulan termasuk rawatan perubatan, tarif penerbangan dan rekreasi. – AFP














