fbpx
Gambar hiasan

Harapan baharu FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBELUM bermulanya Kongres Luar Biasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), segalanya seperti lebih tertumpu kepada pendirian ahli gabungan untuk menentukan perubahan statut yang dicadangkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Sebaliknya persoalan itu seolah-olah padam, berubah 360 darjah dan perhatian beralih kepada hasil pembentangan audit oleh Timbalan Setiausaha Agung AFC, Vahid Kardany hingga FAM ‘ditelanjangkan’.

Penulis yang turut berada di situ seperti terlebih pengambilan kafein, mata terbuka seluas-luasnya dan berdebar untuk melihat sendiri dapatan AFC.

Bukan bermakna kita boleh meraikan kejayaan AFC melondehkan kelemahan FAM, sebaliknya berharap ia menjadi titik tolak kepada kebangkitan semula badan induk itu.

Walaupun perit, masa yang telah berlalu tidak boleh diputar kembali dan penyesalan tidak akan mengubah apa-apa.

Walaupun ada jawatan yang diisi oleh individu tidak memiliki kelayakan berkaitan, penulis tidak mahu mengeruhkan persepsi negatif kerana percaya FAM masih ada pakar untuk menilai ‘untung rugi’ perjalanan persatuan.

Amanat Kardany bolehlah dijadikan pedoman penting buat pucuk pimpinan baharu yang bakal dipilih September ini iaitu elak memberi tekanan tidak perlu kepada kakitangan.

“Jika boleh saya katakan beberapa perkara, anda tidak sepatutnya meminta kakitangan untuk mengikuti apa yang anda mahukan. Anda harus memperkasakan mereka untuk membuat keputusan yang betul dan memastikan mereka bertanggungjawab.

“Jadi krisis yang berlaku adalah kerana tidak ada yang bersuara. Bukan kakitangan tidak tahu perkara yang mereka lakukan itu tidak betul, ia kerana mereka takut ada akibatnya jika anda bercakap mengenainya.

“Semua ini tidak sepatutnya berlaku pada masa akan datang. Anda ada pasukan profesional, biarkan mereka bertugas dan ambil tanggungjawab,” kata Kardany.

Apa yang dikatakan Kardany ada asasnya, setiap kejayaan akan terhasil menerusi kerja keras secara berterusan daripada kakitangan, bukannya sekadar bersandarkan besarnya ibu pejabat atau pun cantiknya jersi yang dipakai.

Malah, Kardany juga beri ingatan supaya semua pihak mengelak daripada mewujudkan permainan ‘tuding jari’ menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya semua pihak termasuk ahli gabungan harus mengambil tanggungjawab masing-masing

Ahli gabungan tidak boleh buta atau pekak untuk melaksanakan pembaharuan khususnya ketika membuat perkiraan untung rugi pada kongres pemilihan, September ini dan segala kerja harus dilakukan secara bersistem, bukan berpaksikan arahan mandatori daripada individu berjawatan besar.

Usah lagi hancurkan harapan peminat yang sebelum ini lebur dek kerana isu pemalsuan dokumen pemain warisan, dikenakan hukuman yang mengakibatkan Harimau Malaya terlepas slot ke Piala Asia.

“Di kebanyakan negara, bola sepak bukan sukan nombor satu, tidak ada sokongan kerajaan, jumlah peminat yang rendah tetapi Malaysia ada semua itu. Sebagai orang Malaysia, mestilah saya nak Malaysia layak ke Piala Dunia.

“Semua orang kena memainkan peranan, perwakilan, pentadbir, exco dan presiden baharu kena main peranan untuk capai satu matlamat. Siapa yang akan dipilih? Kami tidak tahu, terpulang kepada perwakilan kerana mereka ada kuasa untuk pilih tetapi kami akan tolong siapa yang dipilih,” kata Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN