KUALA LUMPUR – Selepas mencuri perhatian menerusi drama PB Orked, pelakon muda Dania Iza kini dilihat semakin serius mengorak langkah dalam industri seni tempatan.
Dania, 19, atau nama penuhnya Dania Iza Hijazi Ahmad Ridhaudin, sebelum ini dikenali sebagai pemenang pertandingan Miss Kuala Lumpur 2024. Selain memiliki rupa paras yang menawan, dia turut mendapat gelaran beauty with brain hasil kebolehannya dalam bidang pengacaraan dan forum.
Nama Dania mula menjadi sebutan selepas membintangi siri drama Rona Bosphorus yang berjaya menarik perhatian ramai penonton. Populariti naskhah tersebut bukan sahaja melonjakkan namanya di Malaysia, malah turut mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat drama di Indonesia.
Meneruskan momentum kerjayanya, Dania kini diberi kepercayaan oleh NS Star Sdn. Bhd. untuk memegang watak utama dalam drama bersiri aksi bertemakan bomba, PB Orked, yang sedang disiarkan menerusi TV2.
Drama itu mengisahkan perjalanan hidup Orked, seorang wanita tabah yang berdepan pelbagai konflik keluarga, cabaran kerjaya serta pencarian cinta sambil mempertahankan maruah dan prinsip hidupnya.
Menurut Dania, watak tersebut menuntut komitmen tinggi terutama dari segi ketahanan fizikal dan mental memandangkan banyak melibatkan babak aksi penyelamatan yang realistik.
“Watak Orked sangat mencabar kerana memerlukan ketahanan fizikal dan mental yang tinggi. Ini pengalaman baharu buat saya, namun saya berusaha memberikan yang terbaik demi peminat dan industri kreatif negara,” katanya.
Bagi pelakon muda itu, peluang memegang watak utama dalam PB Orked menjadi titik perubahan penting dalam perjalanan seninya.
Beliau berharap pengalaman tersebut dapat mempersiapkan dirinya untuk menghadapi cabaran industri hiburan yang semakin kompetitif, selain membuka peluang bekerjasama dengan lebih ramai pelakon berpengalaman pada masa hadapan. – KOSMO! ONLINE














