BEBERAPA hari lalu, penulis melalui satu kawasan perumahan di Petaling Jaya yang sering menjadi lokasi pembuangan sampah haram.
Apa yang menarik perhatian bukanlah timbunan sampah yang menggunung, sebaliknya papan rentang besar bertulis jelas ‘Dilarang Membuang Sampah di Kawasan Ini”.
Namun, ketika kenderaan memperlahankan kelajuan, kelihatan individu mencampakkan beberapa bungkusan sampah ke kawasan tersebut dan terus pergi seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Timbul persoalan, adakah masih ada yang tidak pandai membaca perkataan ‘dilarang membuang sampah’ atau sengaja memilih untuk tidak mengendahkannya?
Hakikatnya, papan tanda larangan membuang sampah boleh ditemui hampir di setiap sudut negara sama ada di taman rekreasi, tepi jalan, kawasan perumahan, longkang mahupun tanah lapang. Namun, kewujudannya seakan-akan tidak memberi kesan.
Lebih mengecewakan, ada yang sanggup membuang sampah hanya beberapa meter dari tong sampah dan ia sama juga situasi puntung rokok dicampak ke jalan, plastik makanan ditinggalkan di kawasan parkir, manakala sisa domestik dibuang di kawasan larangan sehingga mencemarkan persekitaran.
Penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan bahawa hukum membuang sampah bergantung kepada lokasi dan kesan yang ditimbulkan.
Menurut beliau, membuang sampah merata-rata di kawasan milik sendiri ialah makruh kerana mencerminkan sikap tidak menghargai kebersihan dan membawa kepada pembaziran.
“Dalam tanah air, taman halaman sendiri, makruh buang sampah merata-rata. Namun, jika dilakukan di kawasan milik orang lain atau di tempat awam sehingga mengganggu orang ramai, hukumnya boleh menjadi haram kerana melibatkan pencerobohan hak dan kemudaratan kepada pihak lain,” katanya.
Katanya, sebagaimana membazir menggunakan harta sendiri dianggap makruh, membazir atau merosakkan kemudahan awam dan harta wakaf pula boleh menjadi haram kerana melibatkan hak masyarakat.
Penjelasan tersebut menunjukkan kebersihan bukan sekadar tuntutan moral, bahkan sebahagian daripada tanggungjawab agama.
Dalam konteks semasa, alasan ‘tidak tahu’ atau ‘terlepas pandang’ adalah sukar diterima apabila beribu papan tanda amaran dipasang dengan jelas.
Menyedari masalah itu, kerajaan kini mengambil pendekatan lebih tegas menerusi penguatkuasaan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam serta pihak berkuasa tempatan di seluruh negara.
Individu yang membuang sampah merata-rata boleh dikenakan kompaun sehingga RM2,000 selain diwajibkan menjalani Perintah Khidmat Masyarakat sehingga 12 jam.
Pesalah akan diarahkan melakukan kerja-kerja pembersihan awam seperti menyapu jalan, mengutip sampah dan membersihkan longkang.
Penguatkuasaan tersebut merangkumi kesalahan kecil seperti membuang puntung rokok, tisu, plastik makanan, tin minuman dan resit.
Antara lokasi yang menjadi tumpuan operasi ialah kawasan komersial, hab pengangkutan awam, pusat bandar, pasar awam dan kawasan rekreasi.
Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dilaporkan berkata, ia sebahagian daripada strategi penguatkuasaan bersepadu bagi membanteras amalan pembuangan sampah merata-rata.
Langkah itu penting kerana tabiat membuang sampah kecil boleh menyumbang kepada masalah yang menjejaskan keselesaan dan banjir kilat. -KOSMO! ONLINE














