PETALING JAYA – Pelakon juga pengacara versatil, Che Puan Sarimah Ibrahim akan mengambil tindakan undang-undang susulan tuduhan palsu, kenyataan berbaur fitnah serta gangguan yang didakwa ditujukan terhadapnya dalam media sosial.
Perkara tersebut dikongsikannya di platform Threads bersama kenyataan rasmi peguam mewakilinya daripada firma guaman Arif Azmi & Co.
“Sudah tiba masanya perkara ini dilakukan,” katanya merujuk kepada tindakan yang bakal diambil terhadap pihak berkaitan.
Begitupun, pelakon filem Konspirasi itu tidak memperincikan lebih lanjut hal yang membuatkannya nekad berbuat demikian.
Menerusi kenyataan dikongsikan, pihak peguam memaklumkan pelbagai usaha telah dilakukan bagi menyelesaikan isu dihadapi anak guamnya secara tertutup.
Namun impak perbuatan yang didakwa menjejaskan reputasi Sarimah itu dikatakan masih berlarutan seterusnya tindakan undang-undang diambil bagi
melindungi kredibilitinya.
“Sebelum mengambil langkah undang-undang, anak guam kami dan wakil-wakil beliau berusaha untuk menangani perkara ini secara tertutup dan penuh hormat.
“Malangnya, perkara yang memudaratkan itu masih tetap berterusan.
“Anak guam kami telah memberi arahan untuk mengambil tindakan undang-undang bagi melindungi reputasi, kesejahteraan peribadi dan kepentingan profesional beliau,” tulis kenyataan berkenaan.
Kenyataan sama juga menyebut semua bukti sudah disimpan dan berada dalam pengawasan pihak berkaitan.
“la termasuk pemeliharaan bahan bukti serta pemantauan terhadap sebarang penerbitan, perkongsian atau penerbitan semula kandungan yang berunsur fitnah,” menurut kenyataan itu.
Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen menyokong tindakan tegasnya yang menghalang individu tidak bertanggungjawab terus menyebarkan fitnah.
“Tidak mengapa, Che Puan. Apa yang paling penting ialah diri dan kesihatan mental anda,” tulis seorang pemilik akaun Threads. – KOSMO! ONLINE














