NEW JERSEY – Hasrat bek kanan Brazil, Wesley untuk beraksi di pentas Piala Dunia 2026 lebur apabila disahkan mengalami kecederaan otot, sekali gus memaksa Persatuan Bola Sepak Brazil (CBF) memanggil pemain tengah Atalanta, Ederson sebagai pengganti.
Sebagai rekod, Wesley yang mewakili kelab AS Roma mengalami kecederaan ketika Brazil menewaskan Mesir 2-1 dalam aksi persahabatan terakhir kelmarin, sehingga dikeluarkan seawal minit ke-15.
Menerusi satu kenyataan rasmi, CBF mengesahkan Wesley mengalami kecederaan pada otot paha kiri selepas menjalani imbasan MRI dan tidak sempat pulih untuk mengharungi Piala Dunia yang bermula pada 12 Jun ini.
“Susulan diagnosis tersebut, CBF mengumumkan panggilan untuk Ederson yang akan menyertai kem latihan pasukan di Amerika Syarikat bermula minggu ini,” menurut kenyataan itu.
Ederson yang kini beraksi bersama Atalanta bukanlah nama asing dalam skuad Selecao, namun kali terakhir dia menyarung jersi kebangsaan adalah pada Mac 2025 dan hanya memiliki tiga kaps antarabangsa.
Ketua jurulatih, Carlo Ancelotti, tetap optimis dengan persiapan pasukannya menjelang aksi pembukaan Piala Dunia menentang Maghribi pada Ahad nanti.
“Saya fikir pasukan bermain dengan sangat baik dengan penuh intensiti. Kami kini berada pada minggu terakhir persiapan dan saya percaya pasukan berada di landasan yang tepat,” katanya. – AGENSI














