TAPAH – Seorang penduduk Orang Asli yang menemukan pendaki Jaslinda Saludin, 49, petang tadi mendakwa wanita itu dilihat dalam keadaan terhuyung-hayang bersama satu beg plastik berisi beberapa jenis tumbuhan termasuk cendawan.
Nazri Bah Eng, 55, berkata, dia menemui Jaslinda ketika dalam perjalanan menuju ke kawasan sungai berhampiran Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu bersama dua ahli keluarganya.
“Kami kebetulan hendak memancing di sungai berkenaan, secara tiba-tiba seorang daripada kami menjumpai Jaslinda dalam keadaan lemah dan menangis. Dia juga ada bawa satu beg plastik yang berisi cendawan.
“Dalam keadaan itu, saya terus bawa dia balik ke rumah tok batin di kampung berkenaan dan kami beri dia makan serta minum kerana keadaannya kelihatan terlalu letih,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Tapah di sini hari ini.
Katanya, selepas memastikan mangsa berada dalam keadaan selamat, dia segera menghubungi pihak berkuasa bagi memaklumkan penemuan berkenaan sebelum pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tiba di lokasi.
Ketika ditemui pemberita, Jaslinda menghargai usaha pasukan penyelamat serta seluruh rakyat negara yang tidak putus-putus mendoakan dirinya.
“Terima kasih, minta maaf kerana menyusahkan rakyat Malaysia,” katanya ringkas. – KOSMO! ONLINE














