BATU PAHAT – Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini sebagai satu ‘perang luar biasa’ susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlaku secara mengejut.
Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang iti berkata, walaupun PH sememangnya telah bersiap siaga menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa, pembubaran DUN ketika masih berbaki hampir setahun penggal pentadbiran menimbulkan pelbagai persoalan.
“Gendang perang sudah pun berbunyi, namun kali ini peperangan yang kita hadapi agak luar biasa. Tiba-tiba rakyat dikejutkan dengan pembubaran DUN Johor walaupun tempoh pentadbiran masih berbaki.
“Kita sememangnya sudah bersedia untuk memasuki gelanggang pilihan raya, tetapi persoalannya mengapa perlu tergesa-gesa mengadakan pilihan raya ketika negeri dan negara masih berdepan pelbagai cabaran ekonomi global,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera PRN PH Johor di sini hari ini.
Naib Presiden PKR itu berkata, tidak terdapat keperluan mendesak untuk mengadakan pilihan raya lebih awal memandangkan pembangunan Johor sedang berjalan dengan baik hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Katanya, pelbagai projek pembangunan bernilai lebih RM100 bilion yang dilaksanakan di Johor adalah hasil sokongan Kerajaan Persekutuan yang turut menyumbang kepada kemajuan negeri berkenaan.
“Pembangunan Johor tidak berlaku secara bersendirian. Ia adalah hasil kerjasama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan yang bekerja kuat untuk memastikan manfaat pembangunan sampai kepada rakyat,”katanya.
Dalam masa sama, Zaliha turut mempersoalkan kos besar yang perlu ditanggung bagi melaksanakan pilihan raya negeri ketika rakyat berhadapan tekanan kos sara hidup.
Beliau berkata, kira-kira RM90 juta dijangka diperlukan bagi mengendalikan PRN Johor, satu jumlah yang menurutnya boleh dimanfaatkan untuk pelbagai program kebajikan dan pembangunan rakyat.
“Dalam keadaan ekonomi dunia yang mencabar, wang sebanyak itu seharusnya digunakan untuk manfaat rakyat. Sebab itu rakyat perlu menilai keutamaan yang sepatutnya diberikan,” katanya.
Beliau turut menyifatkan rakyat Johor kini semakin celik politik dan mampu membuat penilaian matang terhadap prestasi kerajaan serta hala tuju negeri.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh penyokong PH supaya memperkukuhkan gerak kerja dan memastikan ahli keluarga yang berada di luar Johor pulang mengundi apabila PRN diadakan kelak. – KOSMO! ONLINE














