fbpx
Media sosial sering menjadi tempat hentaman dan cacian kepada individu.

‘Content’ emosi, sensasi mudah pancing netizen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUNIA kini yang saling terhubung dengan platform media sosial membuatkan pelbagai berita dan cerita mudah tersebar.

Di sebalik keghairahan berkongsi video bagi meraih banyak tontonan dan tanda suka, tanpa sedar ia menjerumus masyarakat kepada persepsi buruk tentang sesuatu perkara tanpa menyelidik hal sebenar terlebih dahulu.

Setiap hari kita disaji dengan pelbagai perkongsian di media sosial termasuk maklumat yang belum disahkan sahih. Bermula daripada satu perkongsian video pendek atau tangkap layar, netizen mula menghukum dan membuat kesimpulan pantas tanpa mendengar penjelasan daripada pihak bertanggungjawab.

Orang ramai sewenang-wenangnya melemparkan fitnah dan cacian sehingga boleh memberi tekanan kepada mangsa serta ahli keluarga.

Menurut Pensyarah, Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Ahmad Ibrahim, secara psikologi, manusia cenderung membuat penilaian segera untuk memudahkan proses berfikir.

Kataya, ahli psikologi kognitif, Daniel Kahneman menjelaskan manusia sering menggunakan pemikiran pantas untuk membuat keputusan segera. Dalam keadaan tertentu, mekanisme ini membantu manusia bertindak dengan cepat.

“Namun, apabila digunakan tanpa penilaian kritikal, ia melahirkan stereotaip dan andaian simplistik. Dalam media sosial, kecenderungan ini menjadi lebih kuat kerana pengguna dibanjiri maklumat dalam masa singkat,” katanya.

Jelasnya, kandungan yang bersifat emosional dan sensasi lebih mudah menarik perhatian berbanding penjelasan yang panjang dan bernuansa.

Akibatnya, ramai netizen lebih gemar membuat kesimpulan segera daripada memahami konteks sebenar tentang isu yang timbul.

“Sebagai contoh, satu video tentang pekerja tidak beretika boleh menyebabkan seluruh profesion dihina. Kes jenayah melibatkan individu tertentu pula kadangkala mencetuskan kecaman terhadap kaum dan agama.

“Salah satu cabaran terbesar media sosial adalah kewujudan fenomena ‘echo chamber’. Algoritma platform digital cenderung memaparkan kandungan selari dengan minat dan kepercayaan pengguna.

“Akibatnya, pengguna kerap terdedah pandangan sama berulang kali sehingga percaya pandangan itu mewakili kebenaran mutlak,” ujarnya.

Katanya, dalam keadaan ini, stereotaip menjadi semakin sukar dicabar. Pengguna hanya melihat kandungan yang mengukuhkan prasangka sendiri, manakala pandangan berbeza dianggap ancaman. Budaya ini akhirnya melahirkan masyarakat yang semakin terpolarisasi dan sukar berdialog secara rasional.

“Lebih membimbangkan, media sosial menggalakkan budaya ‘menghukum secara berjemaah’. Sebelum fakta diketahui, individu atau kelompok itu boleh menjadi sasaran kecaman awam hanya berdasarkan potongan video atau maklumat separuh masak.

“Fenomena ini menunjukkan media sosial bukan sahaja mempercepat penyebaran maklumat tetapi penyebaran stereotaip,” katanya.

Kesimpulannya, media sosial bukan sahaja mengubah cara berkomunikasi, tetapi mempercepat budaya membuat kesimpulan secara tergesa-gesa. Masyarakat akhirnya gemar menghukum daripada memahami dan lebih percaya kepada stereotaip daripada realiti yang sebenar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN