BRUSSELS – Penyerang Belgium, Romelu Lukaku memberikan khabar positif buat pasukannya menjelang saingan Piala Dunia yang bakal membuka tirai, minggu depan.
Bintang Napoli itu kembali menemui sentuhan jaringan buat kali pertama dalam tempoh lebih setahun ketika bantu Red Devils menang 2-0 ke atas Croatia dalam aksi persahabatan, awal pagi semalam.
Kapten Belgium, Youri Tielemans anggap ia menjadi perkembangan positif buat pasukan dan Lukaku yang hanya bermain 64 minit bersama kelab sepanjang musim ini ekoran masalah pinggul.
“Ia adalah sesuatu yang ideal buat Romelu, begitu juga buat pasukan. Kami juga tahu betapa pentingnya Romelu buat pasukan ini.
“Dia cukup tajam dan mental dia juga agak bagus. Yang pasti, kami sebagai satu pasukan begitu memerlukan khidmatnya,” kata Tielemans.
Lukaku yang tersisih sejak September 2025 meledak gol kedua Belgium pada masa kecederaan bagi melengkapkan jaringan pertama Red Devils menerusi Tielemans.
Pada Piala Dunia 2026, Belgium diundi dalam Kumpulan G bersama Mesir, Iran dan New Zealand. The Red Devils bakal membuka tirai saingan menentang The Pharaohs, 15 Jun ini. – AGENSI














