fbpx
IKTBN Chembong telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan Sukan ILKBS yang berlangsung di IKTBN Chembong, Rembau, Negeri Sembilan baru-baru ini.

IKTBN Chembong juara keseluruhan Sukan ILKBS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

INSTITUT Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Chembong, Rembau, Negeri Sembilan telah menewaskan 20 Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan Negara (ILKBS) lain dari seluruh negara apabila berjaya muncul juara keseluruhan Sukan ILKBS baru-baru ini.

Ketua Kontinjen Bowling IKTBN Chembong, Husna Maisarah Nasir Khan, 19, berkata, dia sangat bangga dengan kejayaan pasukannya yang muncul juara acara berkenaan setelah membuat persiapan sejak awal tahun ini.

Menurut pelajar jurusan lukisan seni bina itu, mereka telah menjalani latihan secara konsisten sejak beberapa bulan sebelum kejohanan, termasuk latihan fizikal, teknik serta strategi permainan.

“Segala usaha, penat lelah dan komitmen sepanjang latihan akhirnya membuahkan hasil. Berbekalkan semangat dan sokongan daripada pengurus, jurulatih serta latihan berterusan, kami berjaya membalasnya dengan kemenangan.

“Kekuatan utama pasukan kami adalah kerjasama yang baik, komunikasi berkesan serta semangat tidak mudah putus asa.

“Selain itu, disiplin dan sokongan antara ahli pasukan juga menjadi faktor penting kejayaan kami,” katanya ketika Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Sukan ILKBS di IKTBN Chembong.

Dalam pada itu, Husna Maisarah berpendapat, penyertaan para pelajar di bawah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam kejohanan sukan sangat bagus.

Katanya, ia dapat membantu meningkatkan kesihatan fizikal dan mental, selain membentuk disiplin, kepimpinan serta semangat kerja berpasukan.

“Selain kemahiran teknikal yang dipelajari dalam TVET, sukan juga membantu pelajar menjadi lebih seimbang dari segi akademik dan kokurikulum. Ini sekali gus dapat melahirkan graduan yang lebih berdaya saing dan berkualiti,” katanya.

Sementara itu, Kapten Pasukan Bola Tampar IKTBN Chembong, Muhammad Safwan Hakimi Kosairi, 20, berkata, pasukannya telah memulakan latihan intensif hampir dua bulan lalu dengan membahagikan masa antara sesi pembelajaran serta latihan.

Menurut pelajar semester empat dalam jurusan Sijil Lanjutan Teknologi Automotif (Penyelenggaraan Jentera Berat) itu, kekuatan pasukannya terletak pada disiplin yang tinggi dan semangat setia kawan.

DR. MOHAMMED TAUFIQ (dua dari kanan) hadir menyempurnakan Majlis Penutup Kejohanan Sukan IKTBN.

“Walaupun masing-masing sibuk dengan tugasan bengkel, namun setiap atlet menunjukkan komitmen luar biasa.

“Kami saling menyokong dan tidak mudah menyerah kalah, itulah kunci sebenar kejayaan kami,” katanya.

Menurutnya, sebagai pelajar TVET, mereka bukan sahaja perlu mahir dari segi teknikal dan praktikal, malah perlu mempunyai kecergasan fizikal serta ketahanan mental yang kuat.

“Melalui sukan, kita dapat memupuk nilai kepimpinan, kerja berpasukan dan pengurusan masa yang baik. Ini secara tidak langsung dapat membentuk jati diri yang lebih kental sebelum kita melangkah ke alam pekerjaan sebenar nanti.

“Sukan membuktikan bahawa pelajar TVET adalah pelajar yang holistik iaitu hebat di bengkel dan cemerlang di padang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Pengurusan Pelajar IKTBN Chembong merangkap Ketua Sekretariat Kejohanan Sukan ILKBS Ke-38 Tahun 2026, Mohd. Zulhusmi Mohd. Noor berkata, kejohanan berkenaan disertai seramai 54 atlit dan 25 pegawai.

Menurutnya, IKTBN Chembong berjaya mendapat enam pingat emas menerusi acara bola tampar, bola baling, tenpin bowling, sepak takraw, badminton dan go-kart.

“Penyertaan IKTBN Chembong dalam kejohanan ini sudah memasuki edisi ke-38 tahun.

“Alhamdulillah, tahun ini merupakan kali kedua IKTBN Chembong menjadi tuan rumah dan pertama kali dinobatkan sebagai juara keseluruhan apabila berjaya merangkul enam pingat emas daripada tujuh acara dipertandingkan.

Menurutnya, dia amat berharap Kejohanan Sukan ILKBS pada masa akan datang dapat diperkasakan dari pelbagai aspek.

“Antaranya, penambahan bilangan ahli kontinjen supaya lebih ramai pelajar serta warga institusi dapat diberi peluang menyertai pertandingan serta menimba pengalaman dalam suasana sukan yang sihat dan kompetitif,” katanya.

Kejohanan yang disertai lebih 1,000 pelajar daripada 21 IKLBS seluruh negara itu turut menyaksikan kehadiran Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari.

Beliau turut menyempurnakan majlis penutupan kejohanan berkenaan serta menyerahkan bendera kepada wakil IKBN Wakaf Tapai di Terengganu selaku tuan rumah kejohanan pada edisi tahun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN