KUALA LUMPUR – Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli tidak mengalami sebarang kecederaan serius meskipun terbabit dalam kemalangan highside ketika sesi latihan Grand Prix (GP) Itali di Litar Mugello, sebentar tadi.
Insiden itu bagaimanapun menjejaskan usahanya untuk memburu tiket automatik ke sesi kelayakan kedua (Q2) apabila sekadar mencatat masa ke-21 terpantas.
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu merekodkan masa terbaik 1 minit 56.854 saat (s), ketinggalan 1.042s di belakang pelumba terpantas, Scott Ogden dari Britain yang mencatat 1:55.812s.
Keputusan itu menyaksikan Hakim terpaksa mengharungi sesi kelayakan pertama (Q1) esok bagi memburu tempat ke Q2.
Kemalangan berlaku di selekoh kedua terakhir apabila pelumba berusia 19 tahun itu dilihat hilang kawalan ke atas jenteranya sebelum melambung dan terseret atas litar.
Hakim kemudian kembali ke pit sebelum pasukannya bertungkus-lumus membaiki jentera bagi membolehkannya menyambung semula sesi latihan untuk memburu slot ke Q2.
Walaupun berjaya kembali ke litar dan memperbaiki catatan masa, Hakim sekadar di kedudukan ke-21 dan gagal menempatkan diri dalam kelompok pelumba yang layak secara automatik ke Q2.
“Saya terjatuh di selekoh kedua terakhir selepas terlebih masuk ketika keluar dari selekoh dan mengalami kemalangan highside.
“Saya kembali ke pit dan pasukan bekerja keras membaiki motosikal sebelum saya dapat turun semula ke litar.
“Saya berjaya memperbaiki catatan masa, tetapi masih tidak cukup untuk ke Q2. Saya perlukan kira-kira 0.4 saat lagi untuk mara.
“Bagaimanapun, saya tidak akan berputus asa dan akan terus berusaha untuk memperbaiki prestasi dalam sesi kelayakan esok. Alhamdulillah, saya tidak mengalami sebarang kecederaan dan akan memberikan yang terbaik,” katanya.
Rakan sepasukan Hakim dari Jepun, Ryusei Yamanaka pula berjaya melayakkan diri secara automatik ke Q2 selepas menamatkan sesi latihan di kedudukan kelapan dengan catatan masa 1:56.283s. -KOSMO! ONLINE














