fbpx
Poster yang dikongsi PHM di Facebook hari ini

Ibadah korban bukan sekadar sembelih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tragedi persediaan ibadah korban di Johor yang mengorbankan satu nyawa serta mencederakan dua yang lain baru-baru ini perlu dijadikan isyarat jelas untuk menambah baik sistem pengurusan sembelihan di negara ini.

Public Health Malaysia (PHM) menerusi satu perkongsian di Facebook memaklumkan, insiden tersebut tidak boleh dianggap sebagai satu ‘kemalangan terpencil’, sebaliknya memerlukan tindakan tegas daripada jabatan agama dan pihak berkaitan dalam mengemas kini polisi sedia ada.

Menurutnya, realiti semasa menunjukkan kawasan taman perumahan dan kampung kini semakin padat, sempit serta dipenuhi golongan warga emas, selain ketiadaan pengalaman dalam kalangan anak muda untuk mengendalikan haiwan ternakan berskala besar.

“Dulu mungkin ramai orang kampung biasa mengendalikan lembu atau kerbau, tetapi hari ini keadaannya sudah berubah. Ramai anak muda tidak lagi ada pengalaman mengikat, menenangkan atau mengawal haiwan besar.

“Kawasan rumah pula bukan semuanya sesuai dan selamat untuk proses penyembelihan, apatah lagi bila orang ramai berkumpul, ruang sempit dan ada yang hanya datang membantu tanpa latihan,” katanya.

Kata PHM, amalan penyembelihan perlu diperluaskan di tempat penyembelihan khas, pusat korban berdaftar atau lokasi terkawal yang mempunyai pasukan pengendali berpengalaman.

Langkah berkenaan disifatkan mampu mengurangkan risiko kecederaan kepada peserta, penduduk sekitar, kanak-kanak mahupun warga emas.

“Ibadah korban itu mulia, tetapi pengurusan korban juga mesti selari dengan prinsip menjaga nyawa. Jangan tunggu lebih banyak tragedi baru kita mahu berubah.

“Tradisi boleh dikekalkan, tetapi cara menguruskannya perlu ikut zaman, ikut risiko dan ikut kemampuan sebenar komuniti hari ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN