KANGAR – Polis akan memanggil Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung video tular memaparkan seekor lembu korban ditembak menggunakan senapang di Kuala Perlis.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai rakaman video yang tular di media sosial sejak semalam.
Katanya, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung kejadian itu, namun siasatan awal telah dijalankan.
“Insiden itu sudah berada dalam pengetahuan polis. Setakat ini belum ada sebarang laporan polis diterima, namun siasatan awal sedang dilakukan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan terperinci turut dijalankan bagi mengenal pasti jenis senjata dan peluru yang digunakan dalam kejadian berkenaan.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan kejadian tersebut berlaku pada Program Korban Perdana Dewan Undangan Negeri Kuala Perlis di Dataran Lok 9, Kuala Perlis semalam. – KOSMO! ONLINE














