fbpx
Ka Siong bercakap kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Perhubungan UMNO Johor hari ini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI

PRN Johor akan diadakan bila-bila masa – MCA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong mendakwa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan diadakan pada bila-bila masa susulan perkembangan suasana politik semasa di Johor ketika ini.

Menurut beliau, sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA telah mempersiapkan jenteranya di kesemua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memastikan kemenangan gabungan tersebut.

“Kita sudah empat tahun dan memasuki tahun kelima, kini hampir sampai penghujung. Sudah tentu MCA telah bersiap sedia. Memasuki tahun kelima ini bermaksud PRN Johor akan berlangsung pada bila-bila masa.

“Latihan pusat juga sudah diadakan bulan lalu. Ia dihadiri seramai 320 orang pemimpin di semua kawasan. Jentera telah digerakkan dan kerja-kerja yang perlu menjelang PRN telah dilakukan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Perhubungan UMNO Johor, di sini hari ini.

Terdahulu, Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mempengerusikan Mesyuarat BN Johor yang dihadiri kepimpinan parti-parti komponen gabungan itu di negeri ini.

Tambah Ka Siong, pihaknya memilih pendekatan untuk tidak meletakkan sebarang sasaran khusus untuk mengulang kemenangan majoriti lebih dua pertiga dalam PRN lalu, sebaliknya mahu fokus kepada usaha meraih sokongan pengundi.

“Adalah lebih praktikal untuk jentera parti bekerja keras terlebih dahulu di peringkat akar umbi sepanjang tempoh berkempen tanpa berasa terlampau yakin.

“Walau bagaimanapun, kerajaan negeri telah menunjukkan prestasi cemerlang sejak 2022 yang berjaya membawa limpahan ekonomi seimbang di seluruh Johor. Rakyat boleh nilai kemasukan pelabur, peluang pekerjaan serta kerancakan sektor perniagaan,” katanya.

Sementara itu, mengulas tentang pembubaran DUN, Ka Siong berkata perkara itu merupakan hak mutlak Menteri Besar mengikut lunas undang-undang serta Perlembagaan Negeri setelah mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN