MELAKA – Satu mayat ditemui dalam keadaan hampir hancur dibalut dalam tilam dengan kedua-dua tangan diikat di sebuah rumah kedai di Pokok Mangga di sini, dipercayai membabitkan kes pembunuhan.
Mangsa disyaki telah dibunuh dalam tempoh antara dua minggu hingga sebulan berdasarkan proses pereputan mayat yang teruk sehingga jantina dan identitinya tidak dapat dikenal pasti.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat itu daripada pemilik premis yang datang memeriksa keadaan selepas gagal menghubungi penyewanya kira-kira pukul 7 malam tadi.
“Pemeriksaan di lokasi menemukan satu bungkusan tilam mencurigakan di ruang tamu sebelum menemui mayat dalam keadaan reput dengan kedua-dua tangan diikat. Kita percaya terdapat unsur jenayah berdasarkan keadaan mayat ketika ditemukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah di Balai Polis Malim di sini, hari ini.
Tambahnya, hasil siasatan awal, seorang lelaki berusia lingkungan 40 tahun, yang juga merupakan anak kepada penyewa premis berkenaan telah ditahan.
Jelasnya, proses soal siasat bagaimanapun belum dapat dilakukan secara menyeluruh susulan suspek berada di bawah pengaruh dadah jenis syabu.
“Suspek didapati positif dadah jenis syabu menerusi ujian saringan air kencing dan mempunyai tujuh rekod jenayah lampau. Suspek sebelum ini pernah tinggal di premis itu sebelum berpindah ke premis kosong bersebelahan yang disyaki dipecah masuk olehnya,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.- KOSMO! ONLINE














