KLUANG – Polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan seorang kanak-kanak lelaki dipaksa minum air cili oleh seorang guru di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di Taman Sri Kluang di sini, yang tular di Facebook baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu pada pukul 8.46 malam semalam daripada seorang lelaki yang tidak berpuas hati dengan tindakan dipercayai dilakukan guru Taska terbabit terhadap anaknya.
Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku pada 20 Mei lalu melibatkan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun yang didakwa dipaksa minum air cili ketika berada di dapur Taska berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Setakat ini belum ada sebarang tangkapan dilakukan kerana kes masih dalam siasatan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial apabila mangsa didakwa turut dihukum berdiri dalam keadaan bogel di hadapan pelajar lain kerana tidak tidur pada waktu tidur petang.
Kanak-kanak tersebut juga dikatakan dipakai skirt seperti perempuan dengan seluarnya dilurutkan hingga ke buku lali sebagai bentuk hukuman.
Malah, guru terbabit dipercayai memberi amaran kepada mangsa dan kanak-kanak lain supaya tidak memberitahu ibu bapa mereka mengenai kejadian tersebut jika tidak mahu dipukul.-KOSMO! ONLINE














