HULU SELANGOR – Seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang selepas disyaki lemas di Sungai Nilam, Gedangsa di sini ditemukan meninggal dunia, petang tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 1.45 petang semalam.
Menurut beliau, mangsa, Muhamad Aakif Imran Asrul Nizam, 10, dipercayai terjatuh ke dalam sungai semasa sedang bermain di tebing sebelum dihanyutkan arus deras.
“Pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor dibantu pihak bomba dari Balai Bomba Kuala Kubu Bharu telah membuka Pusat Kawalan Tempat Kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa.
“Pencarian bermula pukul 2 petang sehingga pukul 7 malam sebelum dihentikan berikutan keadaan cuaca semakin gelap dan disambung semula pada sebelah pagi tadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Asri berkata, mangsa ditemukan oleh pasukan bomba dan penyelamat kira-kira pukul 4.36 petang semalam pada jarak kira-kira 300 meter dan kedalaman enam meter dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh.
“Mayat mangsa berjaya dibawa keluar dari kawasan kejadian pada pukul 5.10 petang dan siasatan diklasifikasikan sebagai mati mengejut sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan mangsa ditemukan pasukan penyelamat Unit Pasukan Penyelamat Di Air pada pukul 4.36 petang di dasar sungai berkenaan. – KOSMO! ONLINE














