PETALING JAYA – Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) mencatatkan prestasi memberangsangkan bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (Q1 TK2026), disokong oleh momentum jualan yang berterusan, kepelbagaian produk dan jualan belum dibil yang kukuh, meneruskan prestasi teguh Syarikat pada penghujung TK2025.
Syarikat telah mencatatkan hasil sebanyak RM799.2 juta, manakala keuntungan operasi (OP) meningkat kepada RM234.3 juta, naik 24 peratus tahun ke tahun (YoY) berbanding Q1 TK2025.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) dan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) turut mencatatkan peningkatan YoY masing-masing sebanyak 32 peratus dan 34 peratus kepada RM236.3 juta dan RM158.8 juta.
Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Seri
Azmir Merican berkata, syarikat memulakan tahun ini dengan asas yang kukuh membolehkan ia mencatat peningkatan keuntungan sebanyak 32 peratus pada suku ini disokong oleh momentum jualan yang berterusan merentasi kelas aset kami serta prestasi mantap daripada segmen pembangunan hartanah, pelaburan pengurusan aset.

“Keputusan ini terus mengukuhkan peralihan strategik kami ke arah memperluaskan sumber pendapatan berulang serta mengekalkan portfolio yang pelbagai,” katanya dalam kenyataan.
Azmir menerangkan, segmen pembangunan hartanah (PD) kekal sebagai penyumbang terbesar kepada prestasi syarikat dengan merekodkan hasil dan PBT masing-masing sebanyak RM722.5 juta dan RM209.3 juta.
Sepanjang suku tersebut, Syarikat melancarkan pembangunan dengan jumlah Nilai
Pembangunan Kasar (GDV) kira-kira RM563.4 juta dengan produk perindustrian menyumbang
sebanyak 92 peratus daripada pelancaran tersebut, berjumlah RM515.9 juta, sekali gus
mengukuhkan fokus berterusan syarikat terhadap penawaran perindustrian di kawasan
pertumbuhan strategik.
Antara pelancaran utama ialah Masterpiece Collection Series 2 di Bandar Bukit Raja 3 yang menampilkan 40 unit kilang berkembar dua tingkat dengan GDV sebanyak RM255.5 juta.
Produk kediaman bertanah pula menyumbang baki lapan peratus daripada
pelancaran dengan nilai RM47.5 juta, didorong oleh pelancaran Arina 2 di Bandar Ainsdale
yang merangkumi 123 unit rumah setingkat.
Sementara itu, jumlah tempahan keseluruhan mencecah RM1.1 bilion setakat 17 Mei 2026, sekali gus menyediakan saluran pertumbuhan yang kukuh bagi suku kedua.
Berhubung prospek tahun 2026, Sime Darby Property telah memasuki tahun penuh pertama di bawah strategi transformasi SHIFT32, ia kekal fokus untuk mencapai sasaran TK2026 menerusi pelaksanaan berdisiplin, permintaan berterusan merentasi segmen utama serta pengukuhan berterusan asas pendapatan berulang.
Melalui sasaran jualan RM4.0 bilion dan saluran pelancaran yang dirancang sekitar
RM4.7 bilion dalam GDV merentasi pasaran domestik dan antarabangsa, Sime Darby
Property berada pada kedudukan yang kukuh untuk mengekalkan momentum sepanjang baki
tahun ini. -KOSMO! ONLINE














