SEBERANG PERAI – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memberi jaminan bekalan petrol RON95 dan diesel masih mencukupi sehingga Julai ini meskipun masih berlaku ketidaktentuan ekonomi global dan konflik Asia Barat.
Anwar berkata, hubungan baik Malaysia dengan negara luar termasuk Iran sememangnya menjadi keutamaan bagi memastikan laluan bekalan minyak melalui Selat Hormuz lancar dan tidak terjejas.
“Kerana hubungan baik ini membuatkan bekalan minyak cukup setakat ini. Kita kata sampai sampai Julai…InsyaAllah, diesel cukup.
“Masalah hari itu minyak ada, diesel tak ada. Ada naiklah sedikit barang kerana kita beli daripada luar, kena lalu Selat Hormuz,” katanya pada Majlis Agihan Perdana Lembu Korban Madani Parlimen Permatang Pauh di Seberang Jaya di sini, hari ini.
Pada majlis tersebut, sebanyak 260 ekor lembu disumbangkan kepada seluruh masjid dan surau di Parlimen Permatang Pauh bagi menjayakan ibadah korban, esok.
Anwar berkata, konflik melibatkan negara Timur Tengah memberi kesan kepada ekonomi dunia termasuk kenaikan kos insurans dan tambang kapal bagi penghantaran minyak.
Bagaimanapun katanya, kerajaan masih mampu mengekalkan harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter, demi membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
“Minyak RON95 kekal RM1.99. Walaupun diesel naik, kerajaan sediakan pelbagai bantuan menerusi program Budi Madani untuk petani, nelayan, traktor, bas sekolah dan sektor pengangkutan,” katanya. – KOSMO! ONLINE






