MANCHESTER – Saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2025/26 baru sahaja melabuhkan tirainya Ahad lalu, namun pengurus Manchester United, Michael Carrick sudah pun memiliki perancangan untuk kempen musim depan.
Beliau yang diberikan kontrak secara tetap selama dua tahun menyuarakan keyakinan The Red Devils memiliki masa depan cukup cerah berdasarkan prestasi yang dipamerkan dalam beberapa perlawanan terdahulu.
Carrick berkata, pasukan itu sudah pun memiliki asas yang cukup baik bagi menghadapi saingan lebih sukar pada musim depan, ditambah pula pemain-pemainnya mula menunjukkan keyakinan tinggi.
“Saingan musim ini sudah pun berakhir dan saya fikir perkara paling penting yang kami dapat adalah pemain-pemain mula yakin dengan diri sendiri. Saingan musim depan pasti lebih mencabar tetapi kami sudah bersedia untuk permulaan baharu.
“Selepas ini pemain-pemain akan berangkat ke Piala Dunia, kemudian kembali ke kelab untuk mengharungi aksi pramusim. Dari situlah kami akan merangka pelan untuk terus maju ke hadapan,” katanya.
Sebagai rekod, Carrick berjaya menyelamatkan musim United selepas dilantik sebagai pengurus sementara menggantikan Ruben Amorim yang dipecat Januari lalu sehingga berjaya mengemudi pasukan itu ke Liga Juara-Juara (UCL).
Di bawah kendalian bekas pemain England itu, United berjaya mencatat 12 kemenangan daripada 17 perlawanan, sekali gus meyakinkan pihak pengurusan tertinggi The Red Devils untuk melantiknya secara tetap. – AGENSI














