PETALING JAYA – KiN Hotel Group (KiN Hotel) yang berpangkalan di Singapura dan membina jenamanya di Vietnam sejak tahun 2023 dan terus berkembang pantas kini meluaskan jejak kehadirannya di Kuala Lumpur yang akan dijadikan sebagai pasaran strategik syarikat di luar negara tersebut.
Pengembangan ke Malaysia seiring dengan pertumbuhan pesat industri perhotelan tempatan selain ia menjadi hab serantau bagi perniagaan, gaya hidup, kesejahteraan, peruncitan dan pelancongan bandar.
Permintaan terhadap segmen ini sekali gus meningkatkan permintaan terhadap konsep hospitaliti yang melangkaui fungsi hotel tradisional untuk menawarkan pengalaman yang lebih dinamik dan berorientasikan komuniti.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan KiN Hotel, Benny Ong berkata, kemunculan sulung syarikat di Malaysia adalah melalui pengambilalihan dan penjenamaan semula Hotel Maya Kuala Lumpur (Maya KL) yang merupakan sebuah aset hospitaliti ikonik yang terletak di tengah-tengah daerah KLCC, salah satu koridor komersial, gaya hidup dan pelancongan paling utama di bandar ini.

Menurut beliau, dipilih atas faktor keterlihatan, keterhubungan serta permintaan yang pelbagai merangkumi sektor perniagaan, peruncitan, kesejahteraan dan pelancongan, kawasan KLCC menjadi lokasi strategik ideal bagi pelancaran pengembangan KiN di Malaysia.
Lebih daripada sekadar hotel mewah konvensional, hartanah yang dijenamakan semula ini dirancang sebagai destinasi berteraskan gaya hidup yang menggabungkan kecerdasan reka bentuk, hospitaliti berpusatkan manusia serta pengalaman yang berakar kepada budaya tempatan.
Ong memberitahu, pengambilalihan ini mencerminkan strategi lebih luas KiN Hotel dalam memasuki pasaran menerusi aset hospitaliti yang telah beroperasi, berbanding pembangunan baharu secara greenfield.
“Pengembara masa kini mencari pengalaman yang lebih menyeluruh, di mana hospitaliti bukan lagi sekadar penyediaan penginapan, tetapi menjadi sebahagian daripada cara masyarakat moden hidup, bekerja, bersosial dan menikmati sesebuah destinasi.

“Menerusi kemasukan kami ke Malaysia serta pengambilalihan Hotel Maya Kuala Lumpur, kami sedang membentuk sebuah model hospitaliti baharu yang mencerminkan cara Asia moden mengembara dan berhubung,” jelasnya.
Tambah Ong, Hotel Maya Kuala Lumpur akan terus beroperasi sepanjang tempoh peralihan ini, dengan kerja-kerja pengubahsuaian dilaksanakan secara berperingkat mengikut fasa.
Pelantikan tenaga kerja reka bentuk dijangka dimuktamadkan menjelang Jun 2026, diikuti kerja-kerja pengubahsuaian bilik yang dijadual bermula pada Ogos, manakala keseluruhan proses transformasi disasarkan siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun 2026.
Seiring dengan kemasukan rasmi KiN Hotel ke pasaran Malaysia, pihaknya kini giat meneroka peluang hospitaliti tambahan di sekitar Kuala Lumpur serta membuka ruang kerjasama bersama pemilik hartanah, tuan tanah, pemaju, pelabur dan rakan strategik. -KOSMO! ONLINE














