fbpx
DETIK bersejarah buat Arsenal apabila menjulang trofi Liga Perdana buat kali pertama dalam tempoh 22 tahun. - AFP

EPL: Arteta pernah berdepan keraguan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LONDON – Arsenal menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) 2025/26 dengan penuh bergaya selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Crystal Palace pada aksi terakhir di Selhurst Park malam kelmarin.

Meskipun mengesahkan kejuaraan lebih awal sebelum ini, namun pemain-pemain The Gunners baru berpeluang untuk mendakap trofi teragung itu apabila ia diserahkan sebaik sahaja tamat aksi menentang Palace.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta tanpa berselindung mengakui, pernah terlintas di fikirannya sepanjang saingan musim ini sama ada mereka mampu ataupun tidak untuk menamatkan kemarau selama 22 tahun itu.

“Memang saya ada berdepan keraguan sebelum ini apabila menganggap saya hanya mampu untuk membawa mereka menjadi naib juara dan mungkin orang lain ditakdirkan mengemudi Arsenal muncul juara.

“Bagaimanapun, saya sangat gembira apabila kami berjaya melaksanakan tugas tersebut dengan memastikan trofi menjadi milik Arsenal. Sudah tentu kemenangan ini menaikkan moral serta keyakinan pasukan,” katanya.

Pada perlawanan kelmarin, The Gunners memastikan tiga mata menjadi milik mereka selepas Gabriel Jesus dan Noni Madueke masing-masing menjaringkan satu gol manakala gol saguhati pasukan tuan rumah dijaringkan Jean-Philippe Mateta.

Sementara itu, Arteta menghamburkan pujian kepada barisan pemainnya yang sudah banyak berkorban selain menunjukkan kesungguhan biarpun ramai pihak tidak meletakkan kepercayaan kepada mereka.

“Memang benar kami berdepan kesukaran sebelum sampai ke detik ini tetapi saya rasa ia sangat berbaloi. Pemain-pemain menunjukkan komitmen cukup tinggi selain bekerja sebagai satu pasukan,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN