PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat di beberapa kawasan di Semenanjung, Sarawak, Sabah dan Labuan hingga pukul 12 tengah hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, di Semenanjung, kawasan yang dijangka terlibat adalah seluruh Perlis, Pulau Pinang dan Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang dan Kuala Muda).
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hili Perak) dan Selangor (Sabak Bernam),” katanya.
Di Sarawak, cuaca buruk dijangka turut melanda Betong, Sarikei (Sarikei dan Meradong), Mukah (Tanjung Manis dan Daro) dan Miri (Miri).
Di Sabah, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Kudat (Kudat). Cuaca buruk itu dijangka berlaku di seluruh Labuan.
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE!













