KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukir sejarah menjulang trofi Piala Malaysia buat kali keempat berturut-turut selepas menewaskan Kuching City 2-0 pada aksi final sebentar tadi.
Pada aksi penuh dramatik di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, pemain sensasi JDT, Marcos Guilherme dan Arif Aiman Hanapi muncul wira selepas meledak tiga gol ketika saingan berbaki 10 minit.
Namun, skuad Harimau Selatan tidak meraih kemenangan dengan mudah apabila diberi tentangan sengit oleh The Cats sejurus wisel permulaan ditiupkan.
Kuching City yang dikendalikan oleh Aidil Sharin Sahak mempamerkan taktikal menarik dengan menguasai perlawanan sehingga menyebabkan JDT hanya melakukan serangan balas pantas.
Kuching City meraih beberapa peluang keemasan pada babak pertama menerusi pergerakan pemain sayap kanan, Joao Pedro tetapi hantarannya tidak dapat disudahkan Ramadhan Saifullah.
Penyerang utama The Cats, Jerome Etame turut memiliki peluang keemasan menerusi situasi satu lawan satu tetapi berjaya ditepis penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi.
Peluang terbaik Kuching City hadir selepas dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil import, Mohammed Ahmed Al-Shammari pada minit ke-61.
Bagaimanapun, Ramadhan gagal menyudahkan kesempatan tersebut apabila rembatannya tersasar sekali gus memberi nafas lega buat JDT.
Tersentak dengan asakan lawan, pengendali JDT, Xisco Munoz memasukkan Arif Aiman untuk menguatkan serangan JDT.
Percaturan tersebut membuahkan hasil apabila Guilherme meledak gol pertama pada minit ke-81 sebelum Arif Aiman menggandakan kelebihan buat juara bertahan itu sebelum wisel penamat ditiupkan.
Ini adalah trofi keempat JDT musim ini selepas Piala Sumbangsih, Liga Super, dan Piala FA. – KOSMO! ONLINE














