KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muttaqin, Wangsa Melawati di sini bersama ahli kariah dan masyarakat setempat.
Anwar berkata, khutbah Jumaat bertajuk ‘Arafah Hari Kebangkitan’ yang disampaikan turut menyentuh mengenai keistimewaan Hari Arafah pada 9 Zulhijah yang bakal tiba.
Menurut beliau, perhimpunan besar umat Islam di Padang Arafah bukan sekadar melambangkan kesatuan ummah, malah menjadi simbol kekuatan nilai dan kualiti umat Islam dalam mendepani cabaran semasa.
“Perhimpunan besar ini bukan sekadar gambaran kesatuan umat Islam, namun lebih daripada itu kita juga perlu mengangkat nilai dan kualiti umat untuk berhadapan dengan tantangan zaman,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mendoakan semua petugas haji dan tetamu Allah SWT yang kini berada di Tanah Suci diberikan kesihatan serta dipermudahkan urusan ibadah.
“Saya doakan agar semua para petugas dan tetamu Allah SWT (Duyufur Rahman) terus diberikan kesihatan, memberi sepenuh tumpuan kepada ibadat haji dan memperoleh haji yang diterima Allah SWT,” katanya.- KOSMO! ONLINE.














