DETIK yang dinanti kian hampir. Hanya berbaki seminggu sahaja lagi sebelum tirai konsert sulung, For You Nourul dibuka, sebuah bingkisan rindu yang sekian lama terpendam, sedia untuk diluahkan buat para peminat setia.
Hampir dua dekad lamanya wanita ini memilih untuk ‘menyepi’ daripada hingar-bingar dan gemerlap dunia hiburan. Dia membenamkan seketika status selebriti demi menganyam bahagia dan memberi tumpuan utuh buat keluarga tercinta di Bali, Indonesia.
Namun, jodohnya dengan seni tidak pernah benar-benar terputus. Ketika bertemu empat mata baru-baru ini, garis-garis kerinduan yang mendalam tidak dapat disembunyikan.
Jelas terpancar sinar keterujaan pada seraut wajah Nourul Depp saat menyapa mesra rakan media, seolah-olah melepaskan satu bebanan rindu yang sarat di dada.
Di sebalik kelopak mata yang bergenang dan hampir menitis, dia tetap tidak lekang dengan senyuman dan canda mesra. Itulah pesona asli milik Noorulhuda Abdul Wahab; sepotong nama yang sentiasa membawa kehangatan dalam setiap pertemuan. Malah, setiap kali bait bicara diatur, hanya kisah-kisah positif yang mengalir dari bibirnya.
Aura optimis yang menenangkan itu barangkali lahir daripada jiwanya yang kini kian matang, bukan sahaja sebagai seorang penghibur, malah sebagai seorang jurulatih kehidupan (life coach) yang sedia menyembuhkan jiwa-jiwa lain melalui kata-kata dan naskah muziknya
Bagaimanapun, di balik keceriaan yang dipamerkan, tersimpan seribu satu rahsia dan kegusaran yang bergoncang di dalam minda penyanyi berusia 48 tahun itu.
Rupa-rupanya, konsert solo yang bakal menggegarkan pentas Zepp KL pada 30 Meiini mendepani cabaran, memandangkan dia kini turut berdiri teguh menggalas mandat besar selaku penganjur utama.

“Persediaan saya bukan sekadar sebagai penyanyi, bahkan penganjur memandangkan konsert ini merupakan kelolaan syarikat sendiri.
“Memang saya sangat sibuk. Bukan sahaja fizikal tapi mental sebab kita nak pastikan konsert ini berjalan dengan baik.
“Alhamdulillah saya ada pasukan yang bagus dari syarikat sendiri ND Entertainment. Tapi dalam masa kenalah fikir benda yang kita nak buat,” tuturnya membuka bicara.
Pertama kali memikul tanggungjawab besar di balik tabir, pelantun lagu Kerana Terluka itu mengakui fasa tersebut menuntutnya mempelajari pelbagai perkara baharu termasuk menguruskan hal penjualan tiket yang dahulunya tidak pernah difikirkan.
“Bahagian itu (tiket) saya kena fikir juga. Dahulu tak fikir, orang panggil menyanyi, pergi sahaja.
“Sekarang sebab syarikat sendiri, saya serahkan kepada Ikhsan (pengurus). Saya tak nak fikir lagi buat masa ini sebab risau tak boleh beri tumpuan kepada nyanyian.
“Menyanyi pun kena guna kepala (minda), bukan main nyanyi saja. Nak kena dengar nota lagu, melodi.
“Kalau kata susunan lagu, ada beberapa yang sudah ditukar. Kita tak boleh menyanyi cara sama,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Nourul menyifatkan konsert solonya sebagai bukti evolusi diri yang kini sudah melangkah ke satu fasa kehidupan yang lebih matang.
“Saya keluar dari industri muzik sebab fokus kepada hal peribadi, mencari diri sendiri. Saya ada target untuk didik orang. Kebetulan benda ini (konsert) datang sebab seminar yang kita anjurkan.
“Saya tak boleh cakap ini kemunculan semula, sebaliknya ini adalah satu fasa baharu Nourul Depp yang lebih matang dalam usia yang bersedia.
“Fasa baharu tapi tak bermakna saya tukar gaya nyanyian. Memang tetap pop tapi mungkin dalam era berbeza, suara sama pemikiran lain,” jelasnya.

Berdepan cabaran
Di sebalik keterujaan menanti detik bersejarah itu, akuinya perjalanan menganjurkan konsert tersebut tidak lari daripada ujian.
Anak jati Pulau Pinang itu mendedahkan plot awal perancangan konsert sepatutnya melibatkan kerjasama dengan syarikat luar, namun impian tidak berjalan lancar atas masalah yang tidak dapat dielakkan.
“Kalau sebuah syarikat nak buat konsert, awak panggil saya pergi menyanyi. Itu saya punya target.
“Jadi, ada lima syarikat yang masuk, salah satunya datang memang bagus, sudah berjalan tapi ada isu peribadi pula.
“Tak mengapalah, masing-masing pun ada masalah. Cuma setiap isu yang muncul ada penyelesaian.
“Suami nasihatkan saya guna duit pencen dahulu kalau nak konsert diteruskan,” ujarnya.
Enggan membiarkan impian lebur di tengah jalan, Nourul mengambil keputusan berani untuk melaburkan wang simpanan demi melestarikan konsert sulungnya.
“Saya pun buat bisnes memang niat untuk ada duit pencen. Jadi, alhamdulillah kerana ada perniagaan jadi dapat buat konsert ini.
“Kalau tak, konsert tak pernah berlaku sepanjang karier saya.
“Saya pun fikir kembali dan cakap pada diri ‘banyak muhasabah, kalau tak teruskan, saya akan berada di tahap yang sama’.
“Pikul cabaran ini, belajar daripada pengalaman dan jadi versi yang lebih baik,” ujarnya.
Keputusan menggunakan duit sendiri bukan mudah kerana Nourul dan suaminya, Eric Daniel Depp pernah melalui detik hitam selepas diperdaya seorang individu yang kononnya mahu menaja pembikinan albumnya.
“Suami pun cakap, kalau rasa takut, fikir duit hilang jangan buat sebab kami pernah hilang duit masa orang tipu nak buat album Perancis.
“Orang Perancis tak tipu kita pun, tapi orang Malaysia yang tipu sebab dia kata nak taja. Kita pun tanda tangan sebab percaya. Guna duit sendiri dulu, sampai ke hari ini tak dapat balik duit.
“Saya ada trauma itu, tapi saya fikir itu dahulu. Sekarang saya orang baharu, pengalaman menjadikan kita macam mana,” kongsinya.

Pengalaman baharu
Biarpun terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai penganjur, ibu kepada empat orang cahaya mata itu menganggap segala selok-belok yang dipelajarinya menjadi hikmah tersembunyi yang sengaja diaturkan Tuhan.
“Perjalanan ini banyak sangat pelajaran. Saya patut datang buat persembahan sahaja tak perlu fikir benda lain.
“Tapi kena ambil alih semua benda selaku penganjur. Kita tak tahu apa Allah nak bagi. Mungkin nak uji kepimpinan atau apa yang saya dah belajar selama berdiam 15 tahun,” ujarnya.
Menjadikan falsafah daripada pakar kepimpinan terkenal dunia, Robin Sharma sebagai pegangan hidup, Nourul tekad menggunakan bakat nyanyian pinjaman Tuhan agar tidak menjadi satu penyesalan sia-sia.
“Cabaran takkan berhenti. Jadilah profesor dalam kehidupan sendiri sebab inilah yang mengajar kita menjadi manusia lebih berguna.
“Saya pernah kata ‘alhamdulillah, kehidupan peribadi okey dan semuanya baik tapi karier nyanyian macam mana’.
“Saya belajar daripada Robin Sharma, bakat apa yang kita ada, kalau belajar tapi tak gunakan pada akhirnya bila hari nak mati, benda ini datang keliling kita dan melihatkan kita sambil menangis sebab tak digunakan,” tutupnya.















