fbpx
ANGGOTA JIM Johor melakukan pemeriksaan ke atas warga asing dalam serbuan Ops Selera di sekitar Johor Bahru, semalam. Foto IHSAN IMIGRESEN

38 pelayan, tukang masak bekerja secara haram dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Seramai 38 warga Indonesia yang bekerja sebagai pelayan dan tukang masak di beberapa premis makanan sekitar bandar raya ini diberkas dalam Ops Selera yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, semalam.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, operasi kira-kira pukul 11 pagi itu dijalankan hasil risikan dan pemantauan berterusan susulan aduan awam terhadap premis terlibat.

Menurutnya, operasi tersebut melibatkan sepasukan pegawai penguat kuasa daripada Bahagian Penguat Kuasa JIM Johor.

“Ketika serbuan dilakukan, terdapat beberapa individu cuba melarikan diri, namun keadaan berjaya dikawal oleh anggota penguat kuasa.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat individu gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri dan permit kerja yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd. Rusdi berkata, kesemua yang ditahan membabitkan 24 lelaki dan 14 wanita warga Indonesia berusia antara 18 hingga 50 tahun yang dipercayai bekerja sebagai tukang masak dan pelayan restoran.

Katanya, pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai pengurus premis bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk tindakan lanjut, manakala tiga Borang 29 iaitu saman kepada saksi turut dikeluarkan sepanjang operasi dijalankan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN