PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat dan ribut petir membabitkan beberapa kawasan di Semenanjung, Sarawak dan Sabah termasuk Labuan hingga pukul 9 malam ini.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, kawasan yang terlibat di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung dan Kinta), Kelantan (Tumpat, Kota Bharu dan Bachok) dan Terengganu (Marang).
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Terengganu (Dungun dan Kemaman) serta Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Raub, Bentong dan Rompin),” lapor MetMalaysia.
“Selain itu, kawasan yang dijangka terjejas adalah Negeri Sembilan (Kuala Pilah, Jempol dan Tampin), Melaka (Alor Gajah dan Jasin) serta Johor (Mersing, Kota Tinggi dan Johor Bahru),” kata kenyataan itu hari ini.
Sementara itu di Sarawak, cuaca buruk dijangka berlaku di Kapit (Kapit, Bukit Mabong dan Belaga), Miri dan Limbang.
Bagi Sabah, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Pedalaman, Pantai Barat, Sandakan (Kinabatangan dan Sandakan) dan Kudat (Kota Marudu).
Cuaca buruk itu turut dijangka berlaku di seluruh Labuan.
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE














