LONDON – Pasukan Arsenal layak untuk dihormati selepas bergelar juara Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama sejak 2004 sekali gus mengakhiri badi 22 tahun, hari ini.
Pandangan itu disuarakan oleh legenda Arsenal, Thierry Henry yang melihat skuad kendalian Mikel Arteta itu berjaya mengubah mentaliti dan karakter mereka.
“Sebelum ini, Arsenal selalu dituduh terlalu lemah, tidak mampu mempertahankan kelebihan jaringan dan mudah dibuli. Persoalannya sebelum ini, bolehkah Arsenal menang dengan cara ‘kotor’?
“Tetapi sekarang mereka bukan sahaja boleh melakukannya, malah sudah menguasainya. Mungkin orang lain tidak suka (dengan taktik Arsenal), tetapi saya hormat apa yang mereka lakukan.
“Selepas 22 tahun, tidak kira bagaimana cara mereka menang, semua perlu menghormatinya,” katanya.
Arsenal memiliki kelebihan empat mata selepas mengutip 82 mata dan tidak perlu bekerja keras pada aksi terakhir menentang Crystal Palace di Stadium Selhurst Park, Ahad ini.
Musim Arsenal juga masih belum selesai apabila mereka bakal berdepan Paris Saint-Germain (PSG) pada final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) yang dijadualkan berlangsung pada 30 Mei depan. – AGENSI














