fbpx
Proses penyitaan dan penjualan sebuah premis milik Gavin (kanan) dan isteri di Petaling Jaya gagal dilaksanakan ekoran tidak mendapat kerjasama. (Gambar kecil) Chef Wan. - Foto oleh SADDAM YUSOFF/ KOSMO!

Proses sita barang bekas menantu Chef Wan gagal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – PETALING JAYA – Proses penyitaan dan penjualan terhadap sebuah premis milik bekas menantu cef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan, gagal dilaksanakan selepas Gavin Edward O’Luanaigh dan isterinya, Kiran Manjit Singh Sidhu didakwa enggan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa semasa pelaksanaan di sini kelmarin.

Tindakan sitaan dibuat susulan kegagalan Gavin Edward dan Kiran Manjit selaku defendan melunaskan ganti rugi saman fitnah melebihi RM1.5 juta yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 24 Oktober tahun lalu.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Sham Alam telah menetapkan 18 Mei iaitu Isnin lalu sebagai tarikh pertama pelaksanaan sitaan selepas Chef Wan selaku plaintif merangkap pemiutang penghakiman, memfailkan writ penyitaan dan penjualan terhadap bekas menantu dan isteri baharunya itu.

Tinjauan Kosmo! di lokasi kelmarin mendapati, bailif dari Mahkamah Tinggi Shah Alam bersama peguam plaintif (Raja Riza & Associates) dan pengawal keselamatan hadir ke premis defendan bagi menjalankan proses pelaksanaan seperti yang ditetapkan.

Bagaimanapun, usaha itu tidak dapat diteruskan selepas Gavin dan Kiran didakwa tidak membenarkan pihak terbabit naik ke unit kediaman mereka.

Difahamkan, sejak keputusan penghakiman dikeluarkan pada 24 Oktober 2025, defendan juga belum membuat sebarang bayaran kepada Chef Wan, selain kedua-duanya tidak pernah memfailkan sebarang permohonan penangguhan pelaksanaan.

Sementara itu, peguam Chef Wan, Datuk M. Reza Hassan ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan perkara tersebut dan memberitahu susulan kegagalan proses semalam, pihak plaintif akan mendapatkan tarikh baharu daripada mahkamah untuk pelaksanaan seterusnya.

Kosmo! difahamkan, jika keadaan sama berulang, plaintif juga boleh memohon perintah pecah masuk bagi membolehkan proses penyitaan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang.

Terdahulu, Chef Wan meluahkan rasa syukur selepas dirinya dan anaknya, Serina memenangi kes saman fitnah yang difailkan oleh bekas suami iaitu Gavin bersama isterinya baharunya.

Menurut Chef Wan, kemenangan tersebut menjadi bukti bahawa segala tuduhan yang dilemparkan terhadap mereka sebelum ini adalah tidak benar dan fitnah semata-mata.

Beliau turut menjelaskan bahawa tuduhan terhadap dirinya sebelum ini amat berat, termasuk dakwaan tidak berasas kononnya dia mempunyai kecenderungan tidak senonoh terhadap cucunya.

Tambah Chef Wan, perkara-perkara kecil yang berlaku di rumah turut dijadikan alasan untuk menyerang reputasinya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN